Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Bahagia hingga ke Syurga (4): rumah tangga dan masa berkualiti

Perkahwinan 01 Dis 2020
Pilihan oleh Hagnas
Bahagia hingga ke Syurga (4): rumah tangga dan masa berkualiti
Bahagia hingga ke Syurga (4): rumah tangga dan masa berkualiti © - Dreamstime.com

Bahagia hingga ke Syurga (4): rumah tangga dan masa berkualiti – Pada diri Rasulullah SAW terdapat banyak contoh teladan yang baik berkenaan rumah tangga dan masa berkualiti. Baginda membantu dan melayan isteri baginda dengan penuh kasih sayang.

Rasulullah SAW merupakan pendakwah agung yang amat besar tanggungjawabnya. Masa Rasulullah SAW juga terbatas. Namun, Baginda berusaha menjadikan masa yang diperuntukkan untuk keluarga itu berkualiti dan mampu menyenangkan pasangan dan anak-anak.

Luangkan masa yang berkualiti

Masa bersama pasangan haruslah dimanfaatkan sebaiknya. Begitu juga dengan anak-anak. Tambahan lagi dalam situasi hari ini yang memerlukan suami dan isteri bekerja. Tentunya tidak banyak masa yang dapat diluangkan bersama. Oleh itu, jadikanlah masa yang diluangkan bersama pasangan itu masa yang berkualiti.

Aisyah r.a menceritakan dalam satu hadis:

“Aku keluar bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebahagian musafirnya. Ketika itu aku seorang gadis yang tidak gemuk.

Baginda berkata kepada sahabat-sahabat lain: Pergi dahulu, lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata kepada ku: Mari ke sini (baginda mengajak untuk berlumba lari). Aku akan menewaskan mu. Aisyah berkata: Lalu aku telah menewaskan baginda.

Lalu Baginda mendiamkan diri. Hinggalah tiba pada masa aku sudah menjadi gemuk, dan aku pun sudah terlupa akan hal itu. Aku telah keluar lagi bersama baginda dalam sebahagian musafirnya.

Lalu Baginda berkata kepada orang ramai: Pergi dahulu, lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata: Mari ke sini. Aku akan menewaskan mu. Kali ini, baginda telah menewaskan aku. Baginda pun ketawa dan berkata: Ini merupakan untuk itu (iaitu balasan untuk kekalahan sebelum itu).”

(Musnad Ahmad, Hadis Aisyah, no 26320)

Mengambil berat emosi pasangan

Pasangan yang baik semestinya begitu sensitif dengan emosi pasangannya. Dia tahu bila pasangannya marah, sedih, gembira ataupun merajuk. Peka dengan perasaan pasangan membantu kita mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu pasangan atau menenangkan suasana.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a:

“Nabi Muhammad S.A.W bersabda kepada Aisyah: Aku tahu saat kamu senang kepadaku dan saat kamu marah kepadaku.

Aisyah bertanya: Dari mana engkau mengetahuinya?

Baginda menjawab: Kalau engkau sedang senang kepadaku, engkau akan mengatakan dalam sumpahmu, ‘Tidak demi Tuhan Muhammad’. Akan tetapi jika engkau sedang marah, engkau akan bersumpah, ‘Tidak demi Tuhan Ibrahim!’

Aisyah pun menjawab: Benar, tapi demi Allah, wahai Rasulullah, aku tidak akan meninggalkan, kecuali namamu saja.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rumah tangga dan masa berkualiti

Cintailah pasangan dengan berusaha memimpin mereka ke jalan yang lurus. Bersifat adil dengan mereka, berlemah lembut dalam bergaul, sabar dengan karenah pasangan dan memaafkan kekurangan mereka.

Mencintai pasangan amat penting dalam membina keluarga bahagia. Kukuhkanlah ikatan cinta ini dengan meluangkan masa dengan mereka serta sentiasa berinteraksi dengan mereka.