Feminisme Barat dan masalah hijab

Dunia Taufiq Sugeng 03-Jun-2020
Feminisme Barat dan masalah hijab © Kharyadi | Dreamstime.com

Penulis sering bertemu feminis Barat yang progresif dan kami berkongsi pandangan mengenai hak yang sama untuk semua jantina. Kami saling setuju bahwa wanita harus mempunyai kebebasan beragama. Kami juga setuju akan hak menentukan masa depan mereka dan hak mutlak terhadap tubuh mereka. Bahkan kami juga setuju bahwa kaum lelaki sudah terlalu lama menguasai minda dan tubuh wanita. Tetapi bila topik hijab dikemukakan, mereka seakan-akan lupa akan hak-hak ini.

Perancis, Britain, Sweden dan banyak lagi negara di Eropah telah membincangkan mengharamkan  hijab dan niqab. Apa yang menarik mengenai perbincangan di Eropah ialah isu hijab ini menyatukan feminis progresif, golongan haluan kiri, konservatif, pihak liberal dan golongan ekstremis. Golongan ekstremis tidak pernah menunjukkan minat terhadap hak wanita sebelum ini sehinggalah isu hijab diperdebatkan. Mereka berpendirian hak wanita tiada kaitan dengan wanita Islam, dan telah berusaha gigih untuk mencemar Islam dan mengharamkan hijab di Eropah.

Ahli politik, pejuang hak wanita dan samseng ektremis mendesak hijab adalah simbol  sistem penindasan yang dikuasai lelaki (patriachy). Mereka berhujah wanita Islam dipaksa memakai hijab dan jika mereka benar-benar diberikan ‘kebebasan’, mereka akan memilih untuk tidak memakai hijab. Cara pemikiran ini penuh dengan bayangan perkauman, Orientalisme dan kebencian terhadap kaum wanita.

Golongan feminis ini enggan menerima hakikat bahwa wanita Islam membuat pilihan sendiri untuk memakai hijab, dan mereka masih lagi teguh dengan pandangan orientalis  bahwa lelaki kulit coklat yang ganas lagi menindas telah memaksa wanita kulit coklat tunduk kepada mereka. Sikap perkauman mereka mempengaruhi penilaian mereka dan sekaligus melucutkan wanita Islam akan prinsip dan kebolehan mereka.

Yang paling menyedihkan ialah wanita Islam yang menjadi bahan perdebatan ini tidak pernah ditanya realiti kehidupan mereka. Selain dari masalah mengenepikan wanita Islam dan pengalaman mereka, perdebatan ini tidak pernah bertanya mengapakah sehelai kain dianggap simbol penindasan yang sistemik. Masyarakat umum menganggap menutup aurat adalah penindasan, tetapi adakah kurang berpakaian memerdekakan mereka?

Yang jelas memakai kain yang pendek atau bikini tidak akan membebaskan wanita. Tiada sehelai kain yang mempunyai kuasa itu. Kebebasan yang sebenar adalah kebebasan untuk memilih. Memperjuangkan hak masyarakat di mana wanita mampu membuat pilihan sendiri adalah lebih produktif daripada cuba mengawasi tubuh mereka. Kebebasan memilih cara ekpresi diri akan membebaskan wanita. Langkah pertama adalah dengan membiarkan wanita Islam dan hijab mereka.

Feminisme yang sebenar merangkumi setiap wanita dan perjuangan yang sungguh-sungguh untuk memajukan hak wanita di seluruh dunia, apa jua agama mereka. Feminisme yang sebenar juga membenarkan wanita memilih apa jua pakaian mereka, dan percaya bila mereka katakan itu adalah pilihan mereka. Feminisme yang sebenar menolak perkauman dan Islamophobia kerana pergerakan wanita mencari kebebasan bukan sahaja dari sikap seksis tetapi dari apa jua sistem penindasan yang melemahkan wanita.