10 Amalan Sunat Dilakukan Pada Aidilfitri

Sahsiah Nor Syariza Tahir 03-Jun-2019

Setelah sebulan umat Islam mengerjakan ibadah puasa iaitu rukun Islam yang ketiga, kini tibalah masa untuk hari raya Aidilfitri pula menjelma.

Hari yang dinanti-nantikan oleh setiap insan ini seharusnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya.

Antara cara untuk menzahirkan rasa kesyukuran itu adalah dengan melaksanakan perkara-perkara sunat yang disarankan dalam Islam dan dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sendiri pada setiap 1 Syawal.

Berikut kami senaraikan amalan-amalan tersebut.

 

1. Mandi sunat Hari Raya Aidilfitri

Kita disunatkan untuk mandi sunat Hari Raya Aidilfitri pada pagi Syawal sebelum keluar ke masjid dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri.

 

2. Makan sebelum solat Aidilfitri

Tujuan disunatkan makan sedikit sebelum bersolat Aidilfitri adalah untuk menunjukkan bahawa umat Islam tidak dibenarkan berpuasa pada 1 Syawal. Sebaiknya, hendaklah makan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat. Ini kerana kebiasaannya, Rasulullah S.A.W. akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi Hari Raya.

 

3. Berjalan kaki ke masjid dan menggunakan jalan yang berlainan untuk pergi dan balik

Berjalan kaki menuju ke masjid untuk bersolat hari raya adalah lebih afdal dan sunat dilakukan berbanding menaiki kenderaan.

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. menukar jalannya pada hari Aidilfitri tatkala pergi dan balik dari tempat solat hari raya. Baginda sentiasa pergi dan balik melalui jalan yang berlainan, (HR Bukhari).

Tujuan Baginda adalah supaya dapat bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza. Baginda bersalam-salaman serta memohon maaf.

 

4. Menunaikan solat sunat Aidilfitri

Perkara yang dilakukan oleh umat Islam pada pagi Syawal adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri. Ibn Abbas r.a berkata: Rasulullah S.A.W. telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya. (HR al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989).

 

5. Memakai pakaian yang terbaik dan indah

Kita digalakkan untuk memakai pakaian yang terbaik dan indah pada hari raya Aidilfitri, namun dengan mengikut kemampuan masing-masing dan tidak membazir. Bagi kaum lelaki, disunatkan untuk memakai bau-bauan yang wangi.

 

6. Memperbanyakkan takbir

Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah dilihat dengan jelas. Takbir ini kemudiannya hendaklah diteruskan lagi pada pagi Syawal. Firmah Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.”

 

7. Mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri

Lafaz ucapan hari raya bagi umat Islam di Malaysia yang kebiasaannya diucapkan adalah ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin’. Lafaz ini juga sudah memadai. Bagaimanapun, apa yang menjadi amalan para salafussoleh dan menjadi amalan Nabi Muhammad S.A.W. adalah mengucapkan “taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

8. Bergembira pada Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal dan munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menghidupkan suasana gembira dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.

 

9. Berziarah dan merapatkan ukhwah sesama Islam

Merupakan amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam di Malaysia. Berziarah sesama saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga merupakan satu amalan yang amat digalakkan dilakukan pada bulan Syawal. Ia diharapkan dapat mengukuhkan kembali silaturahim yang mungkin pernah terputus sebelum ini atau merapatkan jurang sesama insan yang mungkin agak renggang sebelum ini disebabkan kesibukan kerja.

10. Mengerjakan puasa sunat enam dalam bulan Syawal

Puasa sunat enam boleh dilakukan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal, bermula dari Syawal kedua, sama ada secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Namun, cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama.

Sumber: Masjid Wilayah Persekutuan 

Foto: Mukesh Mishra (Burst), Fizkata, Ke Kotha  Koy, Fadza Ishak & Sazzad Hossain Shimul (Flickr)