10 Cara Kawal Berat Badan di Aidilfitri

Selepas sebulan menjalani ibadah puasa, kita bakal dihidangkan dengan pelbagai juadah enak di sepanjang bulan Syawal.

Menurut kajian, pengambilan kalori semasa musim perayaan ini cenderung meningkat empat hingga lima kali ganda kerana adanya acara rumah terbuka.

Lemang, rendang, biskut raya, ketupat, dan sate antara menu yang menjadi pilihan ramai. Kesemua menu ini bukan sedikit nilai kalorinya, sebaliknya mampu membuat berat badan meningkat jika pengambilannya tidak terkawal.

Jadi apa yang boleh anda lakukan untuk memastikan berat badan terkawal di sepanjang bulan Syawal ini? Jom semak tip berikut:-

1) Paling penting, rancang waktu makan untuk sepanjang hari. Ini kerana sistem penghadaman anda sudah berehat selama sebulan dan jika tiba-tiba ia dikejutkan dengan pengambilan makanan tanpa henti, pasti ia mengundang masalah. Jadi makan secara berperingkat untuk memberi masa kepada perut berfungsi dengan normal.

2) Jangan tinggalkan sarapan. Sarapan pagi penting kerana ia akan menentukan pola pemakanan kita sepanjang hari. Percayalah, jika anda tidak bersarapan, anda akan makan lebih banyak pada waktu tengah hari.

3) Sebelum pergi ke rumah terbuka, pastikan anda mengalas perut terlebih dahulu. Jangan sesekali pergi dengan perut kosong. Ini kerana apabila perut kosong, anda akan makan secara berlebihan. Mesti semua makanan nampak sedap dan ingin dinikmati.

4) Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan air manis. Sebaliknya banyakkan minum air kosong bagi mengimbangkan kembali kandungan gula dalam darah. Ataupun anda boleh minum jus buah-buahan. Boleh bawa bekalan air kosong sendiri jika bimbang tuan rumah tidak sediakan air kosong.

5) Makan secara sederhana dan kunyah perlahan-lahan. Nikmatilah makanan dalam jumlah yang kecil. Jangan terburu-buru untuk menghabiskan makanan. Ini dapat membantu makanan dicerna dengan sempurna.

6) Boleh nikmati biskut raya untuk cemil-cemilan, tetapi jangan terlalu banyak kerana biskut raya tinggi kalori. Sebiji Tart Nanas mengandungi 70 kalori, manakala sebiji Almond London mempunyai 110 kalori.

7) Jika di rumah terbuka, pilih makanan yang mengandungi banyak air seperti Mihun Sup, Asam Laksa atau Soto Ayam.  Elak makanan berminyak.

8) Gunakan pinggan kecil ketika mengambil makanan di meja bufet dan jangan isi pinggan sehingga penuh.

9) Kurangkan pengambilan karbohidrat popular seperti ketupat, lemang, nasi himpit dan sebagainya kerana ianya bersifat tinggi glisemik yang mana akan diproses oleh badan dengan cepat dan akan menyumbang kepada kalori yang tinggi di dalam badan.

10) Banyak bergerak! Walaupun musim perayaan, anda masih perlu banyak bergerak untuk memastikan tiada lemak yang akan tinggal lama di dalam badan. Waktu senaman terbaik ialah di waktu pagi atau petang. Buat 3 kali seminggu.

Kredit foto : i yunmai & Eiliv-Sonas Aceron, Unsplash / One World Hotel