10 Lagu Raya Evergreen

Apabila bercakap mengenai pulang berhari raya di kampung halaman, pasti kita semua pernah merasai pengalaman terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk.

Jika kebiasannya kita perlu memandu selama 4 jam untuk tiba di kampung, pada musim perayaan ia mungkin mengambil masa lebih lama iaitu sehingga 6 jam, 9 jam atau ada yang sampai melebihi 24 jam!

Sementara terperangkap dalam kesesakan itu, kebiasannya, apakah yang anda lakukan untuk menghilangkan rasa bosan?

Jawapannya, sudah tentu mendengar lagu raya!

Ia pasti dapat meningkatkan semangat untuk memandu dan meniupkan rasa tidak sabar untuk beraya bersama dengan ayah, ibu dan seluruh keluarga.

Namun, sudahkan anda menyimpan playlist lagu-lagu raya kegemaran dalam pemain MP3 anda?

Jika belum, di sini kami tolong senaraikan 10 pilihan lagu raya evergreen yang tidak lapuk dek dek hujan, tidak lekang dek panas dan menjadi kegemaran setiap generasi.

 

1. Selamat Hari Raya – Saloma

Sebuah lagu klasik yang sering dimainkan di mana-mana sahaja, termasuk menjadi lagu latar dalam rancangan-rancangan televisyen. Lagu nyanyian biduanita negara ini sememangnya sebuah lagu raya klasik yang kekal diminati oleh setiap lapisan generasi sehingga kini.

 

2. Suasana Hari Raya – Sharifah Aini

Lagu ini sememangnya menyuntik mood raya kerana liriknya yang mengalu-alukan kedatangan tetamu untuk beraya beserta dengan ucapan hari raya.

 

3. Suasana Hari Raya – Anuar Zain & Ellina

Mempunyai tajuk yang sama dengan lagu Sharifah Aini, lagu duet Anuar Zain dan Ellina pada zaman kanak-kanak ini sememangnya mempunyai lirik yang menggambarkan suasana pada hari raya. Mendengar sahaja lagu ini, buat kita rasa seperti ingin turut beraya bersama mereka.

4. Menjelang Hari Raya – DJ Dave

Sebuah lagu raya rancak yang mengetengahkan lirik ucapan selamat hari raya. Lagu ini juga menjadi siulan sesiapa sahaja kerana liriknya yang ringkas dan mudah diingati.

 

5. Dendang Perantau – P. Ramlee

Tidak perlu diperkenalkan lagi lagu ini. Ia antara yang paling klasik dan paling diminati sehingga kini. Dengan alunan petikan gitar seperti yang sering kita dengari dalam filem-filem seniman agung negara ini, Dendang Perantau mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

 

6. Indahnya Beraya Di Desa – Azlina Aziz

Lagu yang paling sesuai dimainkan di corong radio kereta anda kerana ia mengajak para perantau di kota untuk pulang ke desa. Lagu ini pasti akan menaikkan mood anda untuk pulang beraya.

 

7. Ku Pohon Restu Ayah Bonda – Mamat Exist

Lagu yang pasti akan menitiskan air mata bagi yang tidak dapat pulang berhari raya bersama ayah dan ibu di kampung halaman. Lagu ini mengingatkan kita bahawa tidak semua orang bernasib baik dapat pulang berhari raya bersama keluarga tercinta.

8. Selamat Hari Raya – Ahmad Jais

Sebuah lagi lagu klasik yang menjadi siulan setiap generasi. Dengan lirik yang ringkas, berulang dan mudah diingati, ia menjadikan lagu ini sering meniti di bibir sesiapa sahaja.

 

9. Seloka Hari Raya – Hail Amir & Uji Rashid

Pastinya sesiapa yang mendengar lagu ini akan mendengarnya dengan senyuman yang terukir di bibir. Sudah namanya pun seloka, lagu ini ternyata mampu menghiburkan sesiapa sahaja yang mendengarnya.

 

10. Balik Kampung – Sudirman

Siapa yang tidak tahu lagu Balik Kampung? Meskipun jika diamati, lagu ini bukanlah sebuah lagu raya, namun, setiap bait liriknya mampu membuatkan hati kita melonjak untuk pulang ke kampung berjumpa ayah, ibu dan seluruh keluarga. Dengan iramanya yang rancak, lagu ni paling sesuai dimainkan dalam kereta jika anda sudah mula rasa mengantuk atau bosan ketika memandu.

Berdasarkan kesemua lagu yang disenaraikan ini, persamaan yang boleh kita lihat adalah bagaimana lagu-lagu ini mengetengahkan lirik-lirik yang menggambarkan suasana sebenar pada hari raya serta perasaan girang menyambut Aidilfitri.

Tidak perlu lirik yang terlalu puitis atau meleret-leret, sekadar ucapan hari raya pun sudah boleh menjadikan sesebuah lagu raya itu sedap didengar.

Disebabkan itulah lagu-lagu raya klasik tetap menjadi siulan dan kegemaran generasi pada hari ini meskipun terdapat banyak lagu raya baharu yang dimainkan.

Kata orang, yang lama dikelek, yang baharu didukung.

Foto: YouTube