10 lagu raya terpilih yang dekat di hati

Lagu Hari Raya © Ahmad Faiza | Dreamstime.com

Umat Islam telah pun menyambut Hari Raya Aidilfitri dan semestinya masih terasa suasana Aidilfitri. Di corong-corong radio, pastinya banyak lagu raya diputarkan. Banyak lagu-lagu raya lama dan baharu yang dimainkan. Namun bagi kebanyakan orang, lagu-lagu raya lama lebih digemari kerana ianya lebih dekat di hati dan penuh nostalgia.

Berikut adalah senarai 10 lagu raya yang tersendiri dan kekal sedap di dengar sepanjang zaman tanpa mengikut urutan tertentu.

Musafir Aidilfitri – Lagu raya nostalgia ini dinyanyikan oleh penyanyi kelahiran Singapura iaitu  Allahyarham Jaafar Sidiq. Penyanyi ini lebih dikenali dengan nama S. Jibeng. Lirik lagu ini pastinya mendatangkan kesayuan kepada pendengar.

Selamat Hari Raya – Lagu raya ini telah dinyanyikan oleh Biduanita Negara Puan Sri Datin Amar Salmah binti Ismail, atau lebih dikenali sebagai Saloma. Komposer dan penulis lirik lagu ini ialah Ahmad Jaafar.

Dendang Perantau – Lagu raya popular ini didendangkan oleh Tan Sri Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atu lebih dikenali sebagai P. Ramlee. Sudah pasti lagu ini turut menjadi pujaan ramai. Lagu ini ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Tan Sri P Ramlee.

Suasana Di Hari Raya – Lagu raya ini didendangkan oleh pasangan duet Anuar Zain dan Ellina. Antara lirik lagunya yang diiingati ialah: “Asyik bersembang pakcik dan makcik, Hai duit raya lupa nak di beri.” Komposer lagu ini ialah Adnan Abu Hassan dan lirik lagu ditulis oleh Habsah Hassan.

Dari Jauh Ku Pohon Maaf –  Pasti ramai yang sedih dan sayu apabila mendengar lagu dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini. Tambah-tambah lagi jika tidak dapat pulang ke kampung berhari raya. Komposer lagu ini ialah S. Atan dan liriknya ditulis oleh Haron Abdul Majid.

Sepasang Kurung Biru – Lagu yang sungguh menyentuh hati ini telah dinyanyikan oleh Khairil Johari Johar. Susunan lagu ini telah disusun sepenuhnya oleh beliau sendiri dan liriknya telah ditulis oleh Habsah Hassan.

Pulanglah – Lagu ini telah didendangkan oleh Aisyah yang dahulunya pernah menerajui kumpulan Aisyah and the Fan Club dari New Zealand. Aisyah sebelum ini terkenal dengan lagu-lagu balada seperti Janji Manismu yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu anjuran stesyen televisyen TV3.

Cahaya Aildilfitri – Lagu dengan susunan yang menarik dan permulaan yang unik ini dinyanyikan oleh penyanyi berkumpulan iaitu Black Dog Bone. Lagu ini telah digubah oleh S. Atan dan liriknya ditulis oleh Haron Abdul Majid.

Satu Hari Di Hari Raya – Salah satu lagu raya terbaik di era 90-an yang merupakan pilihan penulis. Lagu ini didendangkan oleh Dato’ M Nasir. Lagu dan lirik yang penuh bermakna ini dihasilkan sepenuhnya oleh beliau.

Kepulangan yang Dinanti – Lagu ini dinyanyikan oleh Aman Shah. Lagu yang bercampur baur perasaan girang dan sedih ini telah digubah oleh Omar Taib.

Lagu-lagu raya malar segar ini memang menjadi pilihan hati kebanyakan rakyat Malaysia. Apa pula lagu raya pilihan anda?