10 Malaikat yang wajib diketahui

Malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Nabi SAW dalam Gua Hira di Jabal Nur © Shahreen | Dreamstime.com

Allah SWT telah menciptakan malaikat dari cahaya. Rasulullah SAW bersabda: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disifatkan kepada kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Malaikat diciptakan tanpa mempunyai hawa nafsu seperti manusia yang acapkali lalai dengan duniawi semata-mata. Malaikat adalah makhluk Allah SWT yang sangat patut dan taat.

Sifat malaikat itu adalah tidak melakukan dosa, tidak makan dan minum juga tidak dapat dilihat. Salah satu daripada Rukun Iman adalah percaya kepada malaikat. Ada 10 malaikat yang wajib kita ketahui berserta dengan tugas-tugasnya.

Mari kita ketahui apakah nama para malaikat ini berserta tugas-tugasnya.

  • Malaikat Jibril – Malaikat Jibril adalah malaikat yang pernah solat bersama Rasulluah SAW. Malaikat Jibril ditugaskan untuk menyampaikan wahyu.
  • Malaikat Mikail – Menerima tugas daripada Allah SWT untuk menurunkan hujan (rezeki). Kita perlu merasa bersyukur apabila Allah menurunkan hujan melalui malaikat Mikail. Antara waktu mustajab berdoa adalah ketika turunnya hujan.
  • Malaikat Israfil – Malaikat Israfil telah ditugaskan untuk meniup sangkakala. Tiba masanya Allah SWT memerintahkan Malaikat Israfil untuk menjalankan tugasnya maka terjadilah kehancuran dunia. Malaikat israfil juga yang pertama akan dibangunkan Allah di akhirat nanti dan akan meniup sangkakali kali kedua untuk menghidupkan semua mahkluk semula.
  • Malaikat Izrail – Malaikat Izrail menerima tugas untuk mencabut nyawa dari setiap makhluk hidup, terutama manusia. Sesungguhnya setiap yang hidup akan mati untuk menemui pencipta-Nya.
  • Malaikat Munkar – Tugas yang disandang oleh Malaikat Munkar adalah memberikan pertanyaan kepada manusia yang telah meninggal dunia ketika di alam kubur.
  • Malaikat Nakir – Tugas yang disandang oleh Malaikat Nakir adalah bersamaan dengan tugas Malaikat Munkar iaitu memberikan pertanyaan kepada manusia yang telah meninggal dunia ketika di alam kubur.
  • Malaikat Raqib – Tugas Malaikat Raqib adalah mencatat segala amalan baik yang dilakukan oleh manusia walaupun kebaikan yang dibuat adalah sekecil hama.
  • Malaikat Atid – Tugas Malaikat Atid adalah berlawanan dengan Malaikat Raqib. Malaikat Atid akan mencatat segala perbuatan amalan buruk manusia. Sekecil apapun dosa yang kita lakukan, pasti akan dicatatkan oleh Malaikat Atid. Perlu untuk kita sentiasa beringat sebelum melakukan kejahatan mahupun dosa.
  • Malaikat Malik – Tugas Malaikat Malik adalah sebagai penjaga neraka.
  • Malaikat Ridwan – Tugas Malaikat Ridwan adalah sebagai penjaga syurga.

Semua malaikat taat dan patuh terhadap perintah Allah SWT. Setiap perintah yang ditugaskan kepadanya, dijalankan dengan sangat baik, dan tidak ada satu malaikat pun yang ingkar. Beriman kepada malaikat adalah rukun iman yang kedua dan wajib setiap orang Muslim untuk mempercayai dan beriman kepadanya.