10 malam terakhir: Antara mengejar Al-Qadar dengan bazar Ramadan

Acara Tari Basir
Pilihan oleh Tari Basir
10 malam terakhir: Antara mengejar Al-Qadar dengan bazar Ramadan
10 malam terakhir: Antara mengejar Al-Qadar dengan bazar Ramadan © Sergey Mayorov | Dreamstime.com

Apabila masuk sahaja sepuluh malam Ramadhan terakhir, pasti kita akan menerima pelbagai jenis peringatan dan tazkirah mengenai satu malam yang dinanti-nanti oleh umat Islam yang mengejarnya. Tanpa perlu diberitahu lagi, malam tersebut sudah tentu malam Al-Qadar (Al-Qadr).

Peringatan dan tazkirah tersebut datang kepada kita dalam pelbagai jenis medium, sama ada tazkirah lisan yang disampaikan para asatizah, perkongsian daripada media sosial seperti Facebook dan Whatsapp serta bermacam lagi.

Segala jenis topik mengenai malam Al-Qadr dibincangkan. Waktu-waktunya, tanda-tanda ketibaan, fadilat dan kelebihannya.

10 malam demi persiapan Syawal

Apabila tibanya Rejab, Nabi Muhammad SAW telah pun membuat persiapan bagi menyambut kehadiran Ramadan. Baginda berpuasa dua bulan berturut-turut bersama Syaaban, meningkatkan sedekah dan sebagainya.

Malahan, Rasulullah SAW berdoa dengan doa yang sering kita baca pada dua bulan yang terdahulu. Agar memberkati kita dalam Rejab dan Syaaban, dan menyampaikan kita pada Ramadan.

Namun, majoriti daripada kita jauh lebih ke hadapan. Pabila tibanya Rejab, kita telah pun berfikir mengenai Syawal. Apakah tema warna baju Raya tahun ini? Bagaimana persiapan rumah dan lain-lain lagi?

Kerana itulah, apabila tibanya sepuluh malam Ramadan yang terakhir, kita akan melihat masjid dan surau tidak sepenuh sebagaimana sepuluh malam Ramadan yang pertama dan kedua.

Majoritinya mula berpusu-pusu ke bazar Ramadan bagi membeli baju Raya dan sebagainya seusai solat Maghrib. Malah lebih malang lagi, ada yang terus sahaja ke bazar Ramadan tanpa menunaikan solat Maghrib, walaupun di paginya berpuasa seperti umat Islam yang lain.

10 malam demi pertemuan sebagai ‘Duyuf’ Lail Al-Qadr

Malam Al-Qadr begitu penuh dengan fadilat yang sukar dicari apatah lagi dijual beli. Kerana itulah kehadirannya dirahsiakan oleh Allah SWT agar umat Islam kekal beribadah sepanjang Ramadan. Apatah lagi di sepuluh malam Ramadan yang terakhir.

Di sebalik kepekatan malam Al-Qadr, ia disinari dengan fadilat kemustajaban doa yang gilang-gemilang. Seterusnya, syarat menjadi tetamu, atau ‘Duyuf’ malam Al-Qadr terbuka kepada semua umat Islam yang mencarinya.

Sesiapa yang berusaha sedaya upaya menghidupkan malamnya yang sepi dengan ibadah Qiamullail, membaca Al-Quran dan lain-lain lagi, pasti akan dipertemukan sebagai ‘Duyuf’ malam Al-Qadr itu.

Walau bagaimanapun, malam Al-Qadr tetap bukan untuk semua umat Islam. Bermakna, ia diraih bukan semudah itu. Lihatlah, ia hadir di waktu malam tatkala majoriti enak dibuai mimpi. Ia hadir tanpa diketahui tarikh dan masa. Penuh misteri, namun siapa yang bersungguh mencari pasti menemui.

Salahkah membuat persiapan Syawal di 10 malam Ramadan terakhir?

Sudah tentu tidak. Dengan kesibukan kita dengan kerja di pagi hari, sudah tentu malam antara waktu sesuai untuk kita membuat persiapan Syawal. Sementelah Syawal juga bulan mulia, di mana kita meraikan kemenangan setelah sebulan melawan hawa nafsu.

Namun, kita perlu berfikir dengan iman bukan dengan nafsu. Di sepuluh malam Ramadan terakhir ini, manakah prioriti yang perlu kita utamakan. Antara fadilat doa yang mustajab dengan diskaun baju dan aneka kuih Raya yang murah-murah.

Takkanlah sepuluh hari itu dihabiskan semata-mata persiapan Syawal, tanpa disimpan sebagai persediaan menjadi ‘Duyuf’ malam Al-Qadr? Malam bazar Ramadan mungkin malam yang lebih baik daripada sebulan dua, kerana banyak diskaun yang ditawarkan boleh kita dapati.

Namun, malam Al-Qadr ialah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Selamat membuat pilihan!