10 Tip Puasa Untuk Ibu Hamil

Berpuasa ketika hamil merupakan salah satu perkara yang agak sukar untuk dilakukan oleh ibu hamil. Ini kerana ramai yang bimbang ia akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan bayi di dalam kandungan.

Dek itu ramai yang mengambil keputusan untuk tidak berpuasa dan menggantikan puasa itu di lain masa.

Sebenarnya berpuasa juga punya manfaat kepada ibu-ibu yang hamil. Antaranya ia dapat menurunkan risiko serangan jantung dan penyakit pembuluh darah.

Ini kerana ketika berpuasa, tubuh badan akan menambah sel darah putih. Paling penting, penurunan glukosa (gula) dalam darah boleh mencegah masalah obesiti dan diabetes yang sering dialami oleh ibu hamil.

Jom semak tip berpuasa untuk ibu hamil yang boleh dijadikan panduan.

1) Ketika berbuka, mulakan dengan makanan yang manis seperti buah kurma. Selain dapat mengembalikan tenaga yang telah hilang, makanan manis dapat menstabilkan kandungan gula di dalam darah.

2) Pilih karbohidrat kompleks. Contohnya beras perang, roti gandum, pasta gandum, oatmeal, dan kekacang.

3) Jangan makan dengan rakus biarpun nafsu makan membuak-buak. Lebih baik makan sedikit-sedikit dan solat Maghrib terlebih dahulu. Selepas 30 minit barulah menikmati hidangan yang masih ingin dimakan.

4) Ketika sahur, elakkan makanan dan minuman manis. Ini bertujuan supaya anda tidak mudah haus dan lapar ketika berpuasa di siang hari.

5) Elakkan juga makanan pedas ketika bersahur. Ini kerana makanan ini memang tidak dianjurkan untuk ibu hamil kerana ia boleh memicu kontraksi.

6) Banyakkan pengambilan buah-buahan segar dan sayuran untuk memastikan sistem pencernaan tidak bermasalah.

7) Ambil protein ketika berbuka puasa dan bersahur. Ini kerana protein mampu memberi rasa kenyang yang lebih lama.

8) Minum susu ketika sahur kerana susu dapat menambah energi.

9) Untuk mencegah janin kekurangan vitamin dan nutrisi penting selama ibu berpuasa, ambil vitamin tambahan. Ada beberapa zat penting yang diperlukan saat kehamilan, di antaranya asid folik, kalsium, dan zat besi.

10)  Hal terakhir yang paling penting adalah mengambil atau minum banyak air kosong. Supaya saat berpuasa tidak dehidrasi dan kekal bertenaga sehingga berbuka.

Kredit foto : Suhyeon Choi & David Boozer, Unsplash

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!