15 Ramadan: Apa khabar Ramadan kita?

Acara Tari Basir
Pilihan oleh Tari Basir
15 Ramadan: Apa khabar Ramadan kita?
15 Ramadan: Apa khabar Ramadan kita? © Mohd Safwan Abd Rahmman | Dreamstime.com

Pejam celik bangun bersahur kemudian berbuka puasa, hari ini kita sudah pun tiba di hari ke-15 bulan Ramadan 1442 Hijrah. Kini kita sudah pun tiba di pertengahan musafir Ramadan, dan hanya berbaki separuh bulan lagi sebelum bulan mulia ini berlalu pergi.

Begitu pantas masa berlalu. Meskipun dunia masih lagi belum sepi daripada dijajah virus COVID-19, namun sekurang-kurangnya Ramadan tahun ini dijalani umat Islam lebih baik berbanding tahun lepas.

Apabila kita sudah pun memasuki hari ke-15 bulan Ramadan ini, secara tidak langsung kita sudah pun tiba di fasa kedua Ramadan. Inilah fasa maghfiroh atau ‘keampunan’. Meskipun hadis yang menceritakan fasa-fasa ini dihukum dhoif, namun sekurang-kurangnya kita mengetahui bahawa Ramadan datang dalam pelbagai fasa.

Separuh perjalanan, di manakah fasa kita sekarang?

Subjektifnya, fasa bulan Ramadan itu dihadapi berbeza-beza antara umat Islam yang lain. Ada yang bermula dengan fasa yang teramat laju ketika sepuluh hari yang pertama.

Hampir setiap hari sekurang-kurangnya satu juzuk Al-Quran berjaya dihabiskan. Rakaat solat sunat Tarawih yang dilakukan berjemaah di masjid atau surau sebanyak 20 rakaat. Sedekah yang dilakukan saban hari, dan sebagainya.

Namun, apabila masuk fasa kedua atau baki sepuluh hari yang kedua, fasa itu tadi menjadi sedikit perlahan. Daripada satu juzuk, menjadi separuh atau suku. Daripada ber’Tarawih’ di masjid atau surau, kini banyaknya di rumah dengan rakaat yang sedikit. Begitu juga sedekah menjadi berkala, dan sebagainya.

Kebanyakan daripada kita menghadapi fasa sebegini. Bermula dengan fasa yang teramat laju, kemudian sedikit perlahan. Teramat malang, jika pancit dan rebah di fasa terakhir.

Muhasabah kita tentang 15 hari sebelum ini

Apabila kita sudah pun memasuki hari ke-15 bulan Ramadan ini, maka mari kita luangkan masa sebentar dan bertanya kepada diri, bagaimanakah musafir Ramadan kita dalam 15 hari sebelumnya?

Adakah kita bermula dengan fasa yang baik? Apakah Ramadan kita bebas daripada percakapan yang sia-sia, mengumpat dan sebagainya? Atau kita hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak menahan diri daripada dosa-dosa lama dan sebagainya? Adakah setakat ini Ramadan kita jauh lebih baik daripada sebelumnya?

Muhasabah mengenai 15 hari yang telah kita jalani ingin sangat penting. Kerana ia akan memberi impak kepada musafir kita dalam baki 15 hari lagi. Jika setakat ini kita mendapat hasil yang baik setelah bermuhasabah, maka sudah tentu ia perlu diteruskan.

Bahkan jangan pula kita menurunkan gear kerana mahu memperlahankan rentak Ramadan kita. Sebaliknya terus memijak pedal minyak agar kita bergerak lebih laju. Jika kita mendapat hasil yang kurang memuaskan, maka sudah tentu ia tidak boleh kekal sebegitu.

Pertingkatkan amalan, manfaatkan baki 15 hari lagi

Baki 15 hari yang bakal kita lalui perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Jika tidak, gear yang kita turunkan yang asalnya hanya mahu memperlahankan rentak Ramadan kita, takut terberhenti pula dan akhirnya padam enjinnya.

Pejam celik bangun bersahur kemudian berbuka puasa, hari ini kita sudah pun tiba di hari ke-15 bulan Ramadan 1442 Hijrah. Mungkin bila kita terus begini, sedar-sedar bulan Ramadan sudah pun berlalu pergi.

Maka manfaatkan baki 15 hari ini lagi. Pertingkatkan amalan kita, kerana Ramadan datang setahun sekali. Bukan apa, andai ini Ramadan kita yang terakhir, terlepas peluang yang tidak boleh diraih kembali.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.