20 Amalan Memperoleh Rezeki

Antara nama Allah S.W.T. yang wajib kita beriman kepadanya adalah Ar-Razzaq, iaitu yang banyak memberi rezeki kepada hamba-hambaNya.

Tidak kiralah sama ada hamba itu beriman atau sebaliknya, Allah tetap memberi rezeki yang banyak sehingga adakalanya ada antara kita yang alpa dengan kurniaan tersebut.

Allah S.W.T. menerusi firmanNya dalam surah Ali Imran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.”

Namun, kita hendaklah sentiasa memahat dalam ingatan bahawa konsep rezeki itu bukan sekadar wang ringgit, malahan perkara-perkara lain seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan dan kesejahteraan.

Meskipun Allah S.W.T. telah menetapkan rezeki untuk setiap daripada makhluk di muka bumi ini, namun, sebagai hambaNya, kita dituntut untuk berusaha bagi memperoleh rezeki yang berkat.

Justeru, kami senaraikan 20 amalan yang boleh dilakukan untuk memperoleh rezeki yang berlipat kali ganda dan diberkati oleh Allah, hasil rujukan daripada Jabatan Agama Islam Selangor untuk panduan kita semua.

1. Beribadah

Allah tidak akan mensia-siakan pengabdian diri hambaNya seperti firmanNya dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyakkan istighfar

Istighfar merupakan rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya. Lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

3. Menjauhi dosa

Jauhilah dosa kerana tiada gunanya beristighfar jika masih berbuat dosa. Dosa bukan saja akan membuatkan hati resah, malahan menutup pintu rezeki.

Sabda Nabi yang bermaksud: “Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Mengingati Allah

Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

 

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah berpesan yang berbunyi: “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambahkan rezekinya, maka hendaklah ia berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya dan mengeratkan silaturahim.”

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah adalah termasuk menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin serta isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

 

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang lain dapat menjadi sebab Allah melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi iaitu: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Riwayat Muslim)

8. Berselawat

Terdapat hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Shahih Muslim, no: 577)

 

9. Amal Kebajikan

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

 

10. Seawal Pagi

Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Mengeratkan Silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

 

12. Melazimi Kekal Berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

 

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki kepada hambaNya.

 

14. Melazimi Solat Malam (Tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

 

15. Melazimi Solat Dhuha

Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

 

16. Bersyukur kepada Allah

Allah berfirman:“… Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

 

17. Zikir Dan Bacaan Ayat Quran Tertentu

Zikir daripada ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan fahaman tentang agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam Al-Quran, Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya pasti Dia akan perkenankan.

 

19. Berikhtiar

Barang siapa yang berusaha, dia akan berjaya. Ini adalah sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan diberikan rezeki rasa kaya dengan Allah. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)

 

Foto: Abdul Meilk Majed, Ali Arapoglu, Matthias Zomer, Muhammad Ilyasa, Tear Cordez, Rawpixel, Porapak Apichodilok & Ricardo Esquivel (Pexels), Matin Firouzabadi (Unsplash), Mukesh Mishra (Burst)