4.8 Juta Hidangan Makanan Untuk Golongan Memerlukan

Pada tahun 2018, kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa seramai 820 juta orang di seluruh dunia mengambil kurang daripada 1,800 kalori sehari.

Ia merupakan definisi bagi kebuluran dan boleh disebabkan oleh faktor seperti ketidakmampuan untuk mendapatkan makanan atau pemberian makanan yang tidak menepati keperluan kalori minima harian.

Manakala jika dilihat pada jumlah bekalan makanan global pula, menurut pakar, secara teorinya, bekalan makanan global mampu untuk menampung jumlah penduduk di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, menurut PBB, kira-kira ⅓ daripada jumlah makanan tersebut terpaksa dibuang atas sebab kerosakan sewaktu proses penghantaran atau penstoran.

Kebanyakan kedai di negara-negara maju mempunyai jumlah singkiran bahan makanan yang tinggi.

Sayur-sayuran atau buah-buahan yang mempunyai kecacatan bentuk akan dibuang tanpa mengambil kira sama ada ia masih selamat dimakan ataupun tidak.

Manakala bagi negara-negara membangun, kebanyakan bahan makanan rosak berikutan kegagalan sistem penyejukan dan cerutan infrastruktur.

Akibatnya, hampir ⅓ daripada jumlah makanan terpaksa dibuang berikutan isu logistik dan pengagihan.

 

4.8 Juta Hidangan Makanan Disumbangkan

Bagi mengelakkan berlakunya situasi pembaziran makanan seperti ini dan menyedari terdapat ramai lagi golongan yang tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup, Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) menerusi kerjasama dengan Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen telah bertindak membuat sumbangan makanan kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

Semenjak Oktober 2016 sehingga kini, sebanyak 4.8 juta hidangan makanan telah disumbangkan oleh ketiga-tiga organisasi tersebut.

Hidangan makanan itu terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan roti yang tidak terjual dari setiap 60 cawangan Tesco seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie, kerjasama berterusan bersama Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen itu adalah gabungan yang sangat baik dalam memberi impak positif kepada komuniti.

“Kerjasama antara Tesco bersama Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen bukan sahaja dapat menurunkan kadar pembaziran makanan yang tidak terjual namun masih boleh dimakan,  malahan dapat memastikan golongan yang memerlukan tidak sentiasa kelaparan.

“Usaha berterusan ini adalah amat relevan terutamanya bersempena dengan menyambut Hari Makanan Sedunia pada 16 Oktober.

“Adalah penting untuk kita ingat bahawa masih banyak yang perlu dilakukan jika kita ingin mencapai ‘Matlamat Pembangunan Mampan PBB’ bagi menghapuskan kelaparan global menjelang 2030,” katanya.

Didorong oleh PBB, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) adalah garis panduan dan sasaran keseluruhan dalam menangani cabaran global yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, iklim, kemusnahan alam sekitar, kemakmuran, keamanan dan keadilan.

Selain itu, Tesco juga merupakan salah satu penyokong utama inisiatif Food Bank Universiti Malaya yang membantu seramai 200 pelajar yang kurang berkemampuan di kampus.

Ia juga akan berkerjasama dengan Food Bank Universiti Teknologi MARA, yang akan dilancarkan pada akhir bulan Oktober ini.

Sumber fakta: Hello Doktor

Foto: Tesco Malaysia, Engin Akyurt, Jimmy Chan & Sankalpa Joshi (Pexels)