Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

5 Aktiviti Hujung Minggu Yang Trendy

Suka Nor Syariza Tahir 14-Apr-2019

Jika disebut mengenai aktiviti kegemaran hujung minggu, ada sesetengah individu lebih suka untuk berehat dan bermalas-malasan di rumah.

Ada juga yang memilih untuk keluar berjalan-jalan dengan rakan-rakan dan keluarga, malah ada yang hanya tidur atau menonton televisyen mahupun Netflix sepanjang hari pada waktu hujung minggu mereka.

Tidak kiralah walau apa pun aktiviti hujung minggu yang dilakukan, sebaiknya ia hendaklah sesuatu yang memberi manfaat kepada diri kita, dan bukannya yang melalaikan.

Berikut kami senaraikan 5 aktiviti hujung minggu yang kini menjadi trend di kalangan masyarakat di negara ini.

 

Mendaki Bukit/Gunung

Suatu ketika dahulu, aktiviti mendaki gunung atau memanjat bukit hanya disertai oleh kumpulan pendaki tegar yang benar-benar menjadikan aktiviti itu sebagai hobi waktu senggang mereka.

Bukan itu sahaja, mereka hanya menjadikan gunung-ganang yang mencapai ketinggian lebih daripada 1,000 meter dari paras laut sebagai sasaran mereka, disebabkan pada masa itu masih belum banyak trek laluan bukit-bukau yang boleh diterokai

Namun, situasi yang berlaku pada hari ini adalah kita boleh melihat minat dalam aktiviti mendaki ini seakan-akan telah menjadi satu trend dan ia digemari oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya generasi muda.

Di mana-mana sahaja bukit-bukau atau gunung-ganang, pasti terdapat sekumpulan anak muda, malah ada juga ibu bapa yang membawa anak-anak kecil mendaki. Ini merupakan suatu trend yang positif kerana mendaki gunung atau memanjat bukit itu merupakan satu aktiviti yang memberi banyak faedah, terutamanya menyihatkan tubuh badan.

 

Zumba

Menurut jurulatih kecergasan dan pakar nutrisi terkenal, Kevin Zahri dalam blognya, Kevinzahri.com, Zumba merupakan kombinasi elemen tarian dan aerobik yang diasaskan oleh seorang koreografer pada tahun 1990-an sebagai program kecergasan di Colombia, yang kemudiannya menjadi popular di seluruh dunia.

Dengan menggabungkan rentak salsa, mambo, hiphop, latin dan sebagainya, zumba memberi manfaat dari segi kecergasan dan kesihatan.

Trend tarian kecergasan ini boleh dilihat di banyak lokasi di seluruh negara dan disertai oleh kaum wanita terutamanya, malah segelintir kaum lelaki.

Diiringi oleh alunan muzik yang rancak dan langkah-langkah tarian yang aktif dan menghiburkan, aktiviti Zumba kini menjadi salah satu program kecergasan yang popular dan mendapat sambutan menggalakkan di Malaysia.

 

Melancong/ Mengembara

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, melancong membawa maksud pergi melawat untuk bersenang-senang atau melihat-lihat.

Manakala mengembara pula bererti pergi ke mana-mana (dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yang ditujui), bertualang atau menjelajah.

Meskipun memiliki interpretasi yang berbeza, dan dilakukan oleh kelompok individu yang berbeza keinginan serta latar belakang, secara dasarnya kedua-dua perkataan ini adalah berasaskan niat yang sama, iaitu berjalan-jalan melihat tempat lain.

Sering kita lihat perkongsian di media sosial mengenai pengembaraan dan percutian orang ramai ke serata negara di segenap pelosok dunia, tanpa mengira latar belakang dan keadaan ekonomi masing-masing.

Dengan kemunculan lebih banyak syarikat penerbangan tambang rendah dan trend syarikat-syarikat penerbangan ini yang sering membuat promosi harga tiket, ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk berjalan-jalan melihat dunia.

Pencarian Kafe (Café Hopping)

Satu lagi aktiviti hujung minggu yang menyeronokkan yang kini menjadi trend adalah pencarian kafe.

Sering kita membaca di media-media sosial tentang kafe-kafe hipster yang tular di serata lokasi di negara ini.

Kafe-kafe hipster yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan ini menggamit kedatangan ramai pengunjung dari seluruh negara, hanya disebabkan oleh kuasa tular di media sosial.

Aktiviti ini sering dilakukan bersama rakan-rakan yang gemar mencuba makanan dan minuman yang berlainan daripada kebiasaan.

Sambil menikmati makanan dan minuman yang dipesan, mereka sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan berlatar belakangkan pemandangan kafe yang cantik dan unik untuk diabadikan dalam media sosial masing-masing.

Go-Kart

Go-Kart merupakan aktiviti sukan permotoran yang mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda terutamanya.

Sering dilakukan dalam berkumpulan, kereta lumba yang kecil, rendah dan tidak beratap ini menjadi pilihan mereka yang mempunyai kecenderungan untuk berlumba kereta, namun dengan risiko kemalangan yang sangat rendah.

Ditambah lagi dengan adanya pelbagai jenis trek go-kart di kebanyakan lokasi, ia memberi lebih pilihan kepada si penggemar untuk menyertai aktiviti ini, meskipun mereka perlu mengeluarkan wang belanja yang lebih sedikit untuk menyertainya.

 

Foto: Facebook Nor Syariza & Jess Maund, Unsplash