5 Manfaat Pisang Untuk Aktiviti Latihan Kecergasan

Seringkali kita mendengar dan terbaca mengenai manfaat buah pisang kepada kesihatan.

Dengan pelbagai nutrisi, vitamin dan mineral yang terkandung dalam buah tersebut, ia memberi banyak khasiat kepada kita termasuk dari segi kesihatan, kecantikan dan kecergasan.

Namun, pada kali ini, SalamToday ingin berkongsi dengan pembaca secara lebih terperinci, terutamanya yang sering melakukan aktiviti senaman dan latihan kecergasan mengenai manfaat buah pisang kepada aktiviti anda itu.

Menurut How To Get Rid, anda boleh memakan satu atau dua biji pisang kira-kira sejam sebelum bersenam.

Ia dapat membantu untuk ‘mengecas’ badan dengan tenaga dan bersiap sedia untuk melalui proses-proses kehilangan tenaga atau nutrien ketika bersenam, kerana pisang adalah sumber tenaga.

Manakala, ketika selepas bersenam pula, anda boleh memakan sebiji pisang untuk memulihkan tenaga yang hilang.

Berikut kami senaraikan lima manfaat buah pisang kepada aktiviti latihan kecergasan anda.

 

1. Cegah Otot Kejang

Secara amnya, pisang dimakan oleh para atlet untuk membantu memulihkan kekejangan otot yang mungkin berlaku selepas latihan atau menggantikan tenaga yang hilang ketika latihan.

Gabungan antara vitamin, mineral dan karbohidrat glisemik rendah yang terkandung dalam pisang telah menjadikannya kegemaran kebanyakan atlet atau mereka yang sering bersenam.

Selain itu, kalium yang terkandung di dalam pisang adalah sangat baik untuk otot, di mana tubuh yang mendapat kandungan kalium yang cukup dapat menghindarkan berlakunya kekejangan otot.

Ini kerana tubuh akan kehilangan kalium melalui peluh. Maka, pengambilan pisang amat penting bagi menggantikan kalium yang telah hilang tersebut.

 

2. Menjaga Stamina

Kandungan glukosa dalam pisang dapat membantu anda mengekalkan stamina ketika atau selepas bersenam.

Jika anda memakan pisang sebelum bersenam, glukosa yang terkandung di dalamnya akan diubah menjadi glikogen yang dapat digunakan sebagai bahan bakar otot.

Jadi, tubuh anda akan kekal bertenaga dan rasa segar.

3. Menjaga Fungsi dan Kekebalan Tubuh

Pisang mengandungi protein yang dapat bertindak untuk menjaga fungsi dan kekebalan tubuh anda ketika bersenam.

Selain itu, kandungan asid amino yang ada pada pisang juga dapat membantu meningkatkan metabolisme dalam tubuh badan.

 

4. Menurunkan Berat Badan

Kandungan kalori yang rendah dalam pisang menyebabkan ia sesuai untuk dimakan oleh anda yang ingin menurunkan berat badan.

Secara tidak langsung, anda mendapat dua manfaat dengan memakan pisang; iaitu manfaat membantu menjadikan aktiviti bersenam lebih efektif dan manfaat menurunkan berat badan.

5. Pisang Sebagai Snek Sihat

Jika anda seorang yang sering bersenam atau melakukan latihan kecergasan yang intensif, pasti jurulatih anda sering mengingatkan anda supaya memakan snek yang sihat serta tidak mempunyai kalori yang tinggi.

Pisang merupakan antara buah-buahan yang boleh dijadikan sebagai snek sihat untuk dimakan ketika minum petang atau selepas bersenam dan sebelum tidur.

Kandungan kanji penahan yang kaya dalam pisang dapat menentang proses pencernaan.

Buah ini juga membantutkan selera selain menjadikan proses pengoksidaan lemak berlaku dengan lebih cekap.

Sumber: Maskulin

Foto: Li Sun, Daria Shevtsova, Markus Spiske temporausch.com, Pixabay (Pexels)