5000 Unit Perodua Axia 2019 Telah Ditempah

Dengan harga atas jalan sebelum insurans antara RM24,090 dan RM43,190, Perodua Axia 2019 mendapat sambutan memberangsangkan sejak tempahannya mula dibuka pada 22 Ogos lalu.

Sehingga kini, 5000 unit kenderaan berciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di Malaysia ini telah ditempah oleh orang ramai.

Terdapat enam varian Perodua Axia 2019 yang ditawarkan iaitu E, G, GXtra, SE, AV dan varian baharu STYLE.

“Sejak tempahan dibuka pada 22hb Ogos lalu, kami telah menerima lebih 5,000 tempahan untuk Perodua Axia 2019, sebelum model tersebut diperlihatkan kepada umum,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Selama 26 tahun, Perodua telah menggerakkan Malaysia dengan kenderaan kompak berkualiti yang menawarkan praktikaliti, kebolehpercayaan, pemanduan mudah dan kos pemilikan keseluruhan yang rendah. Atas sebab-sebab ini, Perodua Kancil dan Viva telah menjadi pilihan ramai sebagai kenderaan pertama.”

“Perodua Axia 2019 meneruskan semangat itu dan menawarkan ciri-ciri canggih yang tidak dijangka boleh didapati pada kenderaan entry-level dari segi keselamatan serta gaya, namun masih kekal mampu milik,” tambah beliau lagi.

Varian teratas Perodua Axia 2019, iaitu AV, dilengkapi dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 2.0, yang terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/h), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control untuk mengurangkan risiko pelanggaran.

Semua varian dari GXtra dan ke atas didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC), dan semua varian kecuali varian E mempunyai ABS dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik.

ISOFIX juga terdapat pada semua varian, manakala varian SE dan AV pula dilengkapi dengan filem tingkap keselamatan dan solar.

Tambahan baharu kepada keluarga Axia adalah varian baharu STYLE, yang didatangkan dengan bumper hadapan dan belakang yang tampil lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, lampu belakang lensa jernih, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15-inci.

Warna baharu Sunrise Orange yang eksklusif bagi varian ini melengkapkan gaya ala-ala crossover.