Muslim Compliant Web Environment. Ketahuiselanjutnya

6 Cara Kurangkan Pengambilan Makanan Manis

Selera Rahayu Mat Nah

Tepung pelita, puding karamel, beraneka jenis bubur dan pelbagai lagi makanan yang tinggi gula memang menggoda selera sesiapa sahaja. terutamanya di bulan Ramadan ini, Jika menikmati bufet buka puasa di hotel-hotel, ramai yang menjadikan sudut manisan sebagai sasaran utama.

Anda tahu atau tidak? Mereka yang sering menikmati makanan yang tinggi gula akan mula ‘ketagih’ dengan makanan-makanan ini. Mengapa? Ini kerana setelah mengambil makanan bergula kegemaran, seseorang akan mengalami pertambahan tenaga, namun setelah beberapa ketika, tahap gula di dalam darah mula menurun sehingga membuat tubuh semakin ketagihan gula. Ini berlaku kerana tubuh telah terbiasa memiliki tahap gula dalam darah yang tinggi.

Terlalu banyak gula dalam darah akan melemahkan sistem kekebalan dan tubuh mudah berasa letih. Lupakanlah niat hendak menurunkan berat badan sebab ia tidak mungkin berlaku. Jadi, jika anda mahu tampil ramping di Aidilfitri nanti, kurangkanlah pengambilan gula mulai sekarang.

Berikut merupakan beberapa cara untuk menghentikan kebiasaan mengambil makanan bergula:-

1) Banyakan minum air kosong. Sekurang-kurangnya 8 gelas setiap hari. Dengan cara ini, tubuh akan mendapat keperluan air yang mencukupi. Ketika berbuka puasa, elakkan minuman manis.

Cara mudah untuk dapat 8 gelas air kosong ketika berpuasa ialah, minum 2 gelas ketika berbuka, 2 gelas selepas menunaikan solat Maghrib, 2 gelas selepas Terawikh dan 2 gelas lagi ketika bersahur.

2) Minum teh herba. Teh herba bukan hanya mampu menghilangkan rasa dahaga, malah ia memiliki khasiat untuk kesihatan tubuh badan. Selain boleh mencegah kanser perut, ia juga mampu mencegah masalah gigi berlubang.

Untuk mencegah kanser perut, teh yang baik untuk diminum adalah dari jenis teh hijau, yang mengandungi zat antioksidan.

3) Ambil suplemen. Vitamin C misalnya sangat bermanfaat untuk membantu mengawal kebiasaan mengambil makanan bergula. Vitamin C semulajadi banyak ditemui dalam buah oren dan buah kiwi.

Sementara magnesium membantu mengatur tahap gula dalam darah dan banyak diperolehi daripada sayuran berdaun hijau, kekacang, bijirin, ikan, dan daging.

4) Pilih makanan daripada bahan pemanis semulajadi seperti madu. Pemanis semulajadi banyak diperolehi dalam bentuk sirup dan merupakan salah satu jenis makanan yang menyihatkan tubuh badan. Bahkan, ia juga mengandungi lebih banyak nutrisi jika dibandingkan dengan gula biasa.

5) Baca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan. Sebaiknya, teliti dahulu dengan membaca label yang tertera di atas pembungkusan makanan, terutama kadar gulanya.

Ini kerana sebahagian makanan, kadar gulanya tersembunyi kerana tidak dilabelkan dengan nama gula tetapi dinamakan sebagai  sukrosa, glukosa, maltosa, fruktosa dan sebagainya.

6) Diet yang bagus mesti terdiri daripada protein, karbohidrat dan lemak yang seimbang. Lemak dan protein akan menghalang penyerapan karbohidrat di dalam aliran darah, dan akan memberikan sumber tenaga yang stabil serta akan menjaga tubuh tetap sihat.

Kredit foto : Skyla Design, Jana Sabeth Schultz, Israel Egío, Unsplash