6 Tanda-Tanda Anda Tidak Disukai Bos

Politik pejabat memang memualkan bagi sesetengah orang. Biarpun begitu, mahu atau tidak, ini realiti yang perlu dihadapi orang kebanyakkan individu yang makan gaji. Lebih-lebih lagi jika majikan atau pihak atasan kita suka pilih kasih!

Jadi, bagaimana caranya untuk tahu sama ada bos menyukai kita atau sebaliknya? Cuba semak 6 tanda-tanda berikut. Jika ada di antara situasi ini anda hadapi, itu tandanya anda tidak disukai dan perlu lakukan sesuatu.

 

1) Selalu mengelak

Dia selalu tidak punya masa untuk bertemu dengan anda. Setiap kali anda cuba mengatur perjumpaan dengannya, pasti ada sahaja alasan yang diberikan. Sedangkan teman-teman pejabat yang lain tidak punya masalah untuk duduk berbincang bersamanya.

 

2) Sering dipinggirkan

Biarpun anda salah seorang yang terlibat dengan projek penting, namun nama anda tidak tersenarai dalam ‘thread email’ untuk kemas kini terkini. Malah, anda juga sering kali tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting.

 

3) Tidak diendahkan

Apabila ingin menyuarakan sesuatu pendapat ketika dalam perbincangan, boss anda seringkali tidak memberi perhatian. Kadangkala langsung tidak memberi peluang untuk berkata-kata. Paling menyakitkan apabila dia memperlekehkan apa yang anda cuba sampaikan.

 

4) Sering dipersalahkan!

Andai kata kerja atau projek gagal, anda akan dipersalahkan 100% tanpa budi bicara. Sedangkan anda tidak mendapat tunjuk ajar atau direction yang jelas daripadanya. Sudahlah anda disingkirkan daripada sebarang perbincangan, apabila projek gagal, semua kesalahan diletak atas bahu anda.

 

5) Tidak dihargai

Walaupun sama-sama menyumbang tenaga untuk menjayakan sesebuah projek, tetapi majikan anda jarang sekali memberi penghargaan kepada anda. Biarpun anda sudah melakukan yang terbaik, tetapi dia sering mencari kesalahan atau memperkecilkan kemampuan anda. Padahal, rakan sekerja yang melakukan kerja tidak seberapa dipuji melambung-lambung.

 

6) Makan gaji buta

Jika bos mengambil berat tentang karier anda, dia tidak akan membiarkan anda terkontang-kanting di pejabat tanpa sebarang tugasan. Makan gaji buta kedengaran enak, tetapi situasi ini cukup membahayakan. Sampai satu ketika, pasti majikan akan menyingkirkan anda dari syarikat atas alasan tidak produktif dan hanya merugikan syarikat.

Jika semua situasi di atas sedang berlaku kepada anda, lebih baik bertindak pantas dengan berbincang dengan bos anda untuk memperbaiki hubungan. Jelaskan perasaan anda dan minta dia tunjukkan jalan untuk sama-sama bergerak seiring dengan perkembangan syarikat.

Andai kata usaha untuk berbincang menemui jalan buntu, cuba adukan masalah anda kepada pihak pengurusan sumber manusia. Ingat, jangan mudah mengalah!

 

Kredit foto :Brooke Lark, Unsplash