6 Tip Diet Ketika Bercuti

Kebiasaannya, ketika bercuti ramai yang memilih untuk tidak berdiet. Sebab itu ramai yang berat badannya bertambah apabila pulang daripada bercuti. Maklumlah ketika bercuti kita sering mengambil kesempatan untuk menikmati hidangan tempatan yang jarang sekali boleh dinikmati.

Sebenarnya, anda masih boleh mengawal pengambilan makanan biarpun tidak berdiet ketat. Jom semak tip berikut.

1) Biarpun di mana anda berada, jangan lupa minum banyak air kosong. Ini boleh mengelakkan perut kosong dan cepat lapar. Sebelum mula makan, minum dua atau tiga gelas air terlebih dahulu.

2) Bufet sarapan pagi di hotel memang menyeronokkan. Tapi jangan makan berlebihan. Cara terbaik, mulakan hidangan dengan mengambil buah-buahan dan bijirin berkhasiat untuk cepat kenyang.

3) Makan dalam kuantiti yang kecil. Contohnya, jika anda ingin menikmati hidangan Ramen, daripada makan semangkuk seorang diri, lebih baik berkongsi hidangan itu dengan teman. Selain dapat mengawal kalori, dapat juga berjimat.

4) Jika penginapan anda mempunyai gim, cuba luangkan masa untuk bersenam. 30 minit sehari sudah memadai. Tak perlu buat latihan berat, cukup sekadar berlari di atas mesin larian dengan kelajuan sederhana atau yoga.

5) Jangan sesekali melewat-lewatkan waktu makan. Walaupun terlalu asyik dengan aktiviti yang dijalankan, anda perlu makan untuk mengelakkan perut menjadi terlalu lapar. Perut yang terlalu lapar akan membuatkan anda makan lebih banyak.

6) Cuba elakkan minuman manis atau berkarbonat. Minuman ini hanya memicu rasa lebih dahaga selain tinggi kalori.

Kredit foto : Nyana Stoica Pablo Merchán Montes, JD Mason, Unsplash