7 Cara Atasi Rasa Kurang Keyakinan Diri

Berapa ramai di antara anda menghadapi masalah rasa kurang keyakinan diri atau kurang percaya dengan kemampuan diri sendiri? Masalah ini jika dibiarkan terlalu lama boleh mengundang situasi menjengkelkan.

Contohnya sukar bergaul kerana merasakan diri tidak cukup menarik berbanding dengan orang lain atau tidak menyerlah di tempat kerja kerana berpendapat diri tidak cukup bagus berbanding rakan-rakan sekerja.

Jadi, bagaimana boleh kita atasi masalah ini?

1) Hargai diri sendiri. Ingat, setiap individu punya kekuatan tersendiri. Ilmu yang anda ada mungkin tidak ada pada orang lain.  Jangan takut menyuarakan pendapat. Setiap pendapat tidak ada yang salah atau betul.

2) Jangan terlalu memaksa diri untuk menjadi seperti orang lain. Sempurna di mata anda, tidak semestinya sempurna di mata orang lain.

3) Hentikan hubungan dengan mereka yang sering  membuatkan anda berasa tidak selesa atau yang sering mengkritik kamu. Contoh, teman lelaki yang selalu membandingkan anda dengan wanita lain.

4) Jika di tempat kerja, bersaing secara sihat. Jangan sesekali berniat untuk menjatuhkan orang lain. Jika anda merasakan orang lain cuba menjatuhkan anda, pastikan anda ‘bermain’ dengan bijak.

5) Tanamkan dalam fikiran bahawa anda juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka yang berada di sekeliling. Apa yang anda perlu lakukan, berusaha sebaik-baiknya.  Ingat! individu yang suka memperkecilkan orang lain adalah mereka yang sebenarnya tidak yakin dengan diri sendiri. Jadi, abaikan individu seperti ini.

6) Jika rasa rendah diri anda berasal daripada perasaan yang terlalu sensitif atau terlalu mengkritik diri sendiri, itu mungkin disebabkan  kamu terlalu serius terhadap diri sendiri. Jangan ambil kisah dengan gosip-gosip yang ‘berterbangan’.

7) Jika anda berasa tidak disukai atau tidak diperlukan, itu mungkin kerana mereka meletakkan ekspektasi terlalu tinggi terhadap anda. Jadi untuk atasi masalah ini, cuba berbincang dan beritahu apa yang anda boleh lakukan.