7 Langkah Mencapai Khusyuk Dalam Solat

Sahsiah Nor Syariza Tahir 14-Jun-2019

Khusyuk bermaksud kelembutan dan ketenangan hati. Apabila hati berasa khusyuk, anggota badan lain juga akan mengikutinya.

Solat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah S.W.T. sepanjang waktu mengerjakan solat.

Cuba kita bertanya kepada diri sendiri. Apabila bersolat, adakah kita khusyuk? Bagaimanakah fikiran, perasaan dan rasa hati kita ketika bersolat?

Adalah fikiran kita masih menerawang memikirkan hal-hal lain dan hati kita berasa tidak tenang memikiran masalah yang sedang kita alami?

Jika situasi ini berlaku, ia menandakan kita tidak khusyuk dalam bersolat.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Sejahat-jahat pencuri ialah orang yang mencuri dalam solatnya.” Maka sahabat Baginda bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?” Lantas Baginda menjawab: “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Riwayat Imam Ahmad).

Jelas ditekankan di sini bahawa mencapai khusyuk dalam solat itu amat dituntut kerana ia menandakan ketaatan dan ketaqwaan kita sebagai hamba Allah Yang Esa.

Ini kerana semasa solat, seseorang itu berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya.

Hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu dalam hati yang kemudiannya akan membentuk hati itu supaya akur, taat dan patuh kepada Allah S.W.T.

Justeru, bagaimana untuk memastikan kita sentiasa khusyuk dalam solat?

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mencapai khusyuk dalam solat.

 

1. Memahami maksud bacaan dan erti perbuatan

Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan dan erti setiap perbuatan dalam solat. Misalnya, ketika mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah, makna setiap kalimahnya perlu diketahui satu persatu. Dengan itu, barulah kita mampu melaksanakan solat itu dengan benar-benar khusyuk.

 

2. Fokus

Ketika bersolat, kita hendaklah membuang jauh-jauh segala kekusutan dalam fikiran, tidak memikirkan hal-hal lain dan hanya fokus kepada solat yang didirikan. Apabila kita sedang rukuk, kita fokus kepada perbuatan rukuk itu, apabila kita membaca tahiyat awal, fokus kepada bacaan tahiyat awal tersebut, misalnya. Barulah fikiran kita akan bertumpu kepada solat itu semata-mata.

 

3. Membesarkan Allah

Apabila kita bersolat, kita hendaklah sentiasa tanamkan dalam hati rasa taqwa, kagum, takut dan membesarkan Allah S.W.T. sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Dengan itu, setiap bacaan dalam solat itu akan dilafazkan dengan sebaik-baiknya dan penuh penghayatan.

 

4. Rasa mengharap kepada Allah

Sebagai hamba-Nya, satu-satunya tempat untuk kita bergantung harap adalah tidak lain dan tidak bukan kepada Allah S.W.T. sahaja. Disebabkan itu, mendirikan solat merupakan salah satu bukti yang menunjukkan bahawa kita adalah hamba yang taat dan tidak berharap kepada manusia, melainkan kepada Allah semata-mata. Apabila kita bersolat dengan penuh rasa berharap agar dimakbulkan setiap permintaan kita, kita akan melaksanakan solat itu dengan penuh rasa kekhusyukan.

 

5. Menganggap solat yang dilakukan itu sebagai solat yang terakhir dalam hidup

Apabila kita menganggap solat yang dilakukan itu sebagai solat terakhir dalam hidup dengan mengingati mati, ia dapat membantu kita untuk khusyuk dalam solat tersebut. Ini kerana kita akan cuba untuk melaksanakan solat itu dengan sebaik-baiknya.

6. Tidak Tergopoh-Gapah Dalam Mengerjakan Solat

Setiap perbuatan dan bacaan dalam solat hendaklah dilakukan dengan penuh ‘tomaninah’ (tetap dan tenang) kerana ia adalah kunci kepada mencapai khusyuk dalam solat. Jika kita bersolat dengan tergopoh-gapah, sudah pasti akan wujud kesalahan dalam bacaan serta akan menimbulkan rasa was-was dalam diri.

 

7. Rasa Malu dan Hina Diri (Rasa Haya’) dalam solat

Apabila mengerjakan solat, kita perlu menimbulkan rasa berdosa kepada Allah. Apabila ada rasa berdosa, maka barulah timbulnya perasaan malu. Cara untuk menimbulkan rasa berdosa adalah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir dan banyak ‘berhutang’ kepada Allah.

 

Justeru, lakukanlah solat dengan penuh kekhusyukan serta hayatilah intipati bacaan yang dibaca dalam solat.

Ini supaya solat kita tidak akan menjadi sekadar pergerakan anggota badan, tetapi solat yang terzahir daripada kekhusyukan jiwa, kerendahan hati, tunduk, serta patuh menghadapkan diri di hadapan Allah S.W.T.

Sumber rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: El Carito, Matin Firouzabadi (Unsplash) & Rawpixel.com (Pexels)