7 Makanan Bantu Kurangkan Stress

Stress atau tekanan jika tidak diatasi dengan segera ia akan memudaratkan kesihatan fizikal dan mental. Jangan pandang enteng kerana lama-kelamaan ia boleh memakan diri sendiri.

Selain mendapatkan rawatan kesihatan daripada profesional, anda juga boleh membantu diri sendiri dengan mengamalkan pemakanan bermanfaat untuk mengatasi stress.

Jom periksa senarai makanan yang boleh dimasukkan dalam diet harian untuk membantu mengatasi masalah stress.

1) Kekacang

Kekacang seperti badam, pistachio dan kacang walnut kaya dengan Vitamin B2, Vitamin E, magnesium dan zink. Vitamin B2 membantu dalam sekresi serotonin iaitu hormon yang memberikan rasa kegembiraan.

Zink adalah antara komponen yang diperlukan untuk melawan stres manakala Vitamin E berkesan dalam menghalang penyakit yang disebabkan oleh stress seperti penyakit jantung.

2) Ikan laut dalam

Ikan laut dalam seperti Salmon, Mackerel dan Sardin, serta ikan air tawar seperti Patin dan Haruan, adalah antara sumber makanan yang tinggi dengan Omega 3 yang membantu menstabilkan stress (hormon kortisol).

3) Susu

Susu kaya dengan antioksidan dan mengandungi kalsium yang tinggi untuk membantu menyingkirkan radikal bebas yang berkaitan dengan stress.

Satu kajian mendapati susu yang penuh dengan kebaikan vitamin D mampu untuk mengurangkan simptom keresahan dan kemurungan.

Amalkan pengambilan susu dalam diet seharian dan minumlah susu sebelum tidur untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.

4) Bijirin

Bijirin penuh seperti roti mil penuh, bijirin sarapan pagi, beras perang dan oat mengandungi karbohidrat kompleks yang bertindak untuk merangsang pengeluaran hormon serotonin (bahan kimia pencetus rasa gembira di dalam otak).

Bijirin penuh yang kaya dengan Vitamin B dapat meningkatkan tenaga dan mengurangkan keletihan Ia juga kaya dengan magnesium dan kalium yang dapat menurunkan tekanan darah dalam badan.

5) Buah-buahan dan sayuran

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi dengan antioksidan seperti Vitamin C, Vitamin E dan beta karotena membantu dalam mengurangkan kesan radikal bebas.

Antioksidan yang tinggi membantu penghasilan dopamin yang berfungsi untuk menajamkan tumpuan, memori serta membaiki mood seseorang.

Sumber Vitamin C yang baik adalah jambu batu, brokoli dan oren. Sumber Vitamin E yang baik adalah betik, bayam dan zaitun manakala makanan yang tinggi dengan beta karotena termasuk keledek, lobak merah dan labu.

6) Aprikot kering

Buah Aprikot kering amat kaya dengan magnesium dan berkhasiat untuk membantu menenangkan otot dari dalam. Magnesium juga berfungsi membantu mengawal atur hormon stress.

Selain mengamalkan makanan yang boleh mengatasi stress, anda juga perlu memerhatikan makanan yang patut dihindari atau dikawal untuk menghindari stress.

7) Coklat

Pakar kimia dari Jerman, Justus Von Liebig mengesahkan coklat adalah makanan sempurna, di sebalik rasanya yang enak, kaya nutrisi tambahan yang memulihkan tenaga.

Amalan memakan coklat juga baik kerana dapat merembeskan hormon endorfin ke dalam otak yang merangsang emosi gembira, sekali gus mengatasi masalah kemurungan secara semula jadi.

Coklat pahit yang berwarna hitam antara yang terbaik kerana belum dicampur zat tambahan lain. Bagaimanapun, jangan ambil coklat secara berlebihan kerana ia boleh mengundang risiko kesihatan yang lain seperti berat badan berlebihan.

Sumber : http://www.myhealth.gov.my / www.bharian.com.my

Kredit foto : Maksim Shutov, Monika Grabkowska, amirali mirhashemian, Unsplash