75 peratus negara di dunia tidak bersedia untuk hadapi ancaman wabak

Kehidupan Ahmad Mahmud 27-Jan-2020
EIU Economist Intelligence Unit
© Josepalbert13 - Dreamstime.com

Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) yang dihasilkan oleh the Economist Intelligence Unit menjadi penanda aras penting bagi meneliti keupayaan sesebuah negara menghadapi wabak. GHS terbitan Oktober 2019 menunjukkan purata skor yang dicatatkan 195 negara adalah pada sekitar 40.5%. Ini bermakna, majoriti negara seluruh dunia belum lagi bersedia untuk menghadapi ancaman wabak dan penyakit berjangkit.

Indeks GHS mengukur kebolehan sesebuah negara dari segi mengesan, bertindak, mencegah, risiko serta komitmen meningkatkan daya keupayaan nasional. Jelas, persediaan di peringkat antarabangsa dalam menghadapi sebarang wabak atau penyakit masih lemah. Indeks GHS juga menyenaraikan hanya 13 negara sahaja yang bersedia sepenuhnya untuk menghadapi ancaman wabak, ini termasuk Korea Selatan dan Thailand.

Menurut indeks GHS, Malaysia berada dalam kategori ‘lebih bersedia’ dan menduduki tempat ke-18 di dunia dengan skor 62.2%. Di Asia Tenggara, Thailand adalah negara ‘paling bersedia’ untuk menghadapi situasi wabak berbanding negara yang lain dengan skor 73.2%. Singapura pula mendapat skor sebanyak 58.7%.

Laporan indeks GHS  turut memaparkan negara Thailand yang berjaya menghentikan penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) pada 2015. Wabak MERS telah menjangkiti 186 orang dengan 38 orang terbunuh di Korea Selatan. Thailand juga telah mengesahkan kes import yang berlaku dan memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan segera.

Laporan ini menekankan yang Thailand berjaya mengenal pasti dan menghentikan kes jangkitan MERS tanpa sebarang penularan baharu. Ini adalah contoh terbaik bagi nilai yang ditunjukkan dalam pembangunan sistem keselamatan kesihatan dan sistem kesihatan yang baik bagi menghentikan wabak dari sumbernya. Thailand jelas telah berjaya mengungguli isu keselamatan kesihatan di peringkat global.

Indeks GHS mengambil masa lebih dua tahun untuk dikeluarkan dan ia melibatkan lebih 100 penyelidik dari seluruh dunia. Laporan indeks GHS telah menjadi indikator penting kepada pembuat dasar dalam memastikan keselamatan dan menentukan keutamaan di negara masing-masing.