Muhasabah diri dan bagaimana melakukannya

Sahsiah Abi Aasim 08-Mei-2020
Perbaiki diri dengan mengingati-Nya © Leo Lintang | Dreamstime.com

Menurut ahli falsafah dan ilmuwan Islam tersohor, Imam al-Ghazali: “Barang siapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak.”

Untuk menjadi manusia yang beruntung dan beroleh kejayaan, kita haruslah sentiasa memperbaiki diri kita. Caranya? Kita perlulah selalu muhasabah diri, iaitu menilai diri untuk pembaikan diri sendiri. Selain dapat memperbaiki diri, sering bermuhasabah juga dapat membantu kita menjadi seorang mukmin yang lebih baik.

Lebih baik  jika kita dapat muhasabah diri setiap hari. Kita boleh mulakan dengan langkah-langkah berikut:

  • Mengingati Allah SWT – Daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda: “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba-Nya, disegerakan baginya kesusahan (balasan) sewaktu di dunia lagi. Sebaliknya jika Allah menghendaki kejahatan bagi seorang hamba-Nya, ditangguhkan pembalasan ke atasnya sehingga hari Kiamat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Saban kali, kita hanya mengingati Allah di saat kita susah kerana mungkin itu detik terbaik untuk kita muhasabah diri. Marilah kita ubah dari sekarang dengan mengingati Allah pada setiap masa.

  • Bersyukur – Benar hati manusia ini dijadikan untuk sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik. Namun kita perlulah membezakan yang mana keperluan dan yang mana adalah pujukan nafsu semata-mata. Sesungguhnya dengan bersyukur itu dapat mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.

Daripada Shuhaib berkata, Rasulullah bersabda; “Amat menakjubkan urusan seorang mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (HR Muslim)

  • Cuba menjauhkan diri dari maksiat – Sebagai manusia, kita tidak pernah dapat lari daripada melakukan kesilapan. Namun hendaklah kita sentiasa cuba menjauhkan diri daripada berterusan melakukan perkara-perkara maksiat. Melalui perbuatan maksiat, hati kita akan makin jauh dengan Allah SWT.

Saidina Umar bin al-Khattab r.a. pernah berkata: “Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah sebelum kami ditimbang, supaya itu lebih mudah bagimu di hari hisab kelak untuk menghisab dirimu di hari ini. Bersiaplah kamu untuk pertemuan yang lebih besar, pada saat amalan dipamerkan dan tidak sedikitpun yang dapat tersembunyi darimu.” (HR at-Tirmidzi)

Perjalanan kita di dunia ini hanyalah sementara. Akhirat juga yang kekal selama-lamanya. Mudah-mudahan di akhirat nanti, Allah SWT akan tempatkan kita semua di syurga yang abadi asbab kerap bermuhasabah dan mengingati-Nya.