9 Perkara Perlu Tahu Sebelum Membeli Filem ‘Tinted’ Kereta

Suka Rahayu Mat Nah 19-Jun-2019

Kedudukan Malaysia di garisan khatulistiwa diterjemahkan kepada iklim cuaca yang terik pada saban tahun di negara ini.

Dengan suhu purata yang tercatat pada paras 28˚C, yang adakalanya mencecah 35˚C sejak kebelakangan ini, maka tidak hairanlah jika warga Malaysia mengelak untuk berhadapan dengan cuaca ini melalui pelbagai cara.

Salah satu caranya ialah dengan memakai filem cermin kereta yang mampu melindungi kereta daripada suhu panas sekaligus menghalang sinaran ultraungu (ultraviolet) serta inframerah (infrared) yang boleh merosakkan kulit dan mata.

Mungkin ada pemandu atau penumpang yang memandang ringan tentang perkara ini sehinggalah mereka melihat sendiri masalah kesihatan yang timbul yang seperti penuaan kulit pramatang, selaran matahari (sunburn) dan tidak mustahil kanser.

Setiap kereta berupaya untuk melindungi pengguna daripada pelbagai jenis bahaya, namun pengguna jalan raya masih terdedah kepada bahaya sinaran matahari.

Oleh itu, filem kereta diperkenalkan bukan sahaja digunakan untuk tujuan privasi, malah ia juga mampu melindungi kita daripada sinaran yang berpotensi untuk memudaratkan ini.

Justeru, dengan pelbagai jenis filem kereta di luar sana yang berbeza dari segi harga dan standard, bagaimanakah anda memilih filem kereta yang sesuai?

Jika anda ingin memasang filem cermin kereta dalam masa terdekat ini, periksa 9 fakta berikut terlebih dahulu.

1) Ketahui maksud Peratus Ketelusan Cahaya (VLT) dan Faktor Perlindungan Matahari (SPF)?

Tahap ketelusan cahaya yang biasanya ditunjukkan dalam nilai peratusan bersamaan dengan peratusan cahaya yang dapat menembusi tingkap sesebuah kenderaan. Dalam erti kata lain, VLT 30% dapat menapis 70% cahaya nyata, dan nilai peratus yang berbaki, iaitu 30% mampu menembusi tingkap kenderaan berkenaan.

Filem tingkap akan kelihatan lebih gelap sekiranya tahap VLT tersebut adalah lebih rendah. SPF pula merupakan sebuah pengiraan yang menunjukkan berapa lama sesuatu bahan pelindung matahari (sunscreen) dapat melindungi kulit kita daripada sinaran ultraungu B (UVB).

Sinaran UVB biasanya mengakibatkan kerosakan pada epidermis, iaitu lapisan kulit di bahagian luar. SPF lazimnya mempunyai 3 tahap seperti yang dipaparkan pada mana-mana bahan pelindung matahari:

⦁ SPF 15 menangkis 93% sinaran UVB
⦁ SPF 30 menangkis 97% sinaran UVB
⦁ SPF 50 menangkis 98% sinaran UVB.

Secara ringkas, jika anda memakai bahan pelindung matahari yang mempunyai SPF 30, anda akan memperoleh perlindungan 30 kali ganda lebih banyak berbanding tidak mempunyai sebarang pelindung matahari.

2. Perbezaan kualiti filem kereta

Filem kereta yang berubah warna, menggelembung atau mengupas biasanya disebabkan oleh filem bergred rendah yang terdedah kepada risiko-risiko kesihatan yang dinyatakan di atas.

Bahkan kemungkinan besar, ia bukan sahaja tidak berupaya untuk melindungi anda dan ruang interior kereta anda daripada sinaran UV berbahaya, malah ia juga tidak dapat menangkis kehadiran elemen seperti haba.

Filem cermin kereta seperti ini hanya dipromosikan untuk estetikanya. ‘Tint’ bergred rendah boleh didapati daripada mana-mana kedai aksesori kereta, tetapi aspek kualiti, jangka hayat, perlindungan dan sekuriti yang ditawarkan olehnya tidak terjamin.

Kos filem berkualiti tinggi biasanya boleh didapati dalam lingkungan harga antara RM700 sehingga RM5000 bagi sesebuah jenama filem kereta yang terkemuka.

3. Ciri-ciri perlindungan yang asas

Filem yang berkualiti tinggi sekurang-kurangnya didatangkan dengan ciri perlindungan UV dan penangkis haba. Kebanyakan filem kereta yang standard dapat menangkis 99% sinaran UV.

4. Pilih jenama yang dipercayai

Sebelum memasang filem cermin kereta, buat kajian sendiri terlebih dahulu. Carilah sahaja maklumat di dalam talian (online). Cari ulasan-ulasan pengguna terdahulu. Selalunya ulasan tidak berbayar ini lebih jujur.

Jenama filem kereta seperti 3M disyorkan oleh pertubuhan kanser kulit Amerika Syarikat kerana ia menawarkan faktor perlindungan matahari (SPF) yang berjumlah lebih daripada 1000 — iaitu 30 kali ganda lebih tinggi berbanding produk bergred tinggi yang seumpamanya.

Tahap SPF filem yang tinggi menawarkan perlindungan daripada komplikasi seperti selaran matahari, penuaan pramatang dan kanser kulit yang disebabkan oleh sinaran UV matahari.

Dengan menangkis radiasi cahaya UV, filem kereta juga mampu melindungi interior kenderaan anda daripada masalah seperti kecelaan warna dan keretakan.

5. Kekal nyaman dan kurangkan penggunaan bahan bakar

Fakta mesti tahu, penggunakan filem cermin kereta sahaja ia tidak dapat menangkis keseluruhan haba yang dapat diserap oleh sesetengah komponen kereta di dalam ruang kabin kenderaan.

Namun begitu, dengan bantuan filem kereta bergred tinggi, jumlah haba yang signifikan dapat ditapis mengikut kadar ‘Total Solar Energy Rejected’ (TSER).

TSER merupakan terma yang biasanya dapat dilihat oleh pengguna pada brosur sesebuah produk filem kereta. Ia merujuk kepada jumlah haba yang dapat ditangkis oleh filem berkenaan — lagi tinggi nombor tersebut, maka jumlah haba yang dapat ditangkis juga adalah tinggi.

6. Sekuriti dan keselamatan

Filem bercirikan ‘sekuriti’ mampu menahan serpihan kaca tingkap yang telah retak/pecah dan mengelakkan kaca tersebut daripada melayang atau bertaburan sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh kes kecurian.

Namun, ambil maklum bahawa filem sekuriti bukannya 100% tidak boleh ditembusi kerana dalam keadaan kecemasan, tingkap kenderaan masih perlu diakses oleh pihak yang melakukan misi menyelamat.

7. Waranti

Kebanyakan produk bergred tinggi didatangkan dengan waranti daripada pengeluar produk tersebut dan ia akan ditunaikan oleh wakil-wakil pengedar yang bertauliah.

Sekiranya filem tersebut menunjukkan sebarang kecelaan dalam tempoh waranti yang ditetapkan, anda boleh membuat tuntutan. Atas sebab ini, pembelian harus dibuat daripada pengedar yang bertauliah untuk memastikan waranti anda sah.

Jadi, anda boleh mengunjungi laman web jenama produk berkenaan dan dapatkan senarai pengedar bertauliah yang berhampiran dengan anda. Ia dapat memastikan produk anda diliputi oleh waranti tersebut dan tuntutan masih boleh dibuat walaupun jika wakil pengedar tersebut tidak lagi beroperasi.

8. Adakah filem terlogam sesuai untuk saya?

Filem terlogam (metallized film) juga popular dalam pasaran filem kereta atas kepatutan harga serta kualitinya. Ia mungkin dilihat sebagai pilihan yang ideal, namun filem terlogam mempunyai beberapa isu yang tersendiri.

Filem yang diperbuat daripada sebatian logam ini boleh mengganggu signal yang digunakan oleh GPS, telefon mudah alih, tag RFID, malah pintu pagar automatik anda juga.

Isu yang lain melibatkan pengakisan, ini adalah kerana logam yang terdedah kepada air dan udara akan mencetus reaksi kimia. Pengakisan bukan sahaja boleh merosakkan penampilan filem tersebut, malah keupayaan penapisan haba produk berkenaan juga akan turut terjejas.

Tidak lama kemudian, warna filem tersebut akan berubah menjadi ungu atau perang, oleh sebab itu, penglihatan pengguna kenderaan juga boleh terganggu kerana masalah tersebut.

9. Keupayaan tangkisan haba tidak bergantung kepada tahap kegelapan filem

Peraturan terkini bagi penggunaan filem kereta di Malaysia ialah — VLT 70% untuk cermin tingkap hadapan, VLT 50% untuk cermin tingkap sisi, dan tahap VLT bebas untuk cermin tingkap belakang.

Filem gelap tidak semestinya dapat menangkis haba dengan lebih baik berbanding filem lut sinar, kerana kadar tangkisan haba sebenarnya bergantung kepada ‘Total Solar Energy Rejected’ (TSER).

Kesimpulannya, pemilihan filem kereta adalah subjektif, setiap individu mempunyai kecenderungan, bajet dan keperluan yang berbeza.

Kredit foto : Photo by Grahame Jenkins, Unsplash & Lewis Kuala Lumpur