9 Tip Pemakanan Ketika Musim Jerebu

71165496 - young woman drinking water

Jerebu oh jerebu! ‘Tetamu’ yang tidak diundang ini membuatkan ramai yang jatuh sakit. Apa tidaknya, hari demi hari Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan peningkatan.

Ini bermakna, anda berhadapan dengan situasi yang boleh mengundang risiko kesihatan. Jadi, apa yang perlu anda buat?

Selain perlu banyak menghabiskan masa di ruang yang tertutup dan memakai topeng muka ketika berada di luar, anda juga sebenarnya perlu menjaga pemakanan ketika musim jerebu.

Pemakanan yang  sihat  mampu mempertahankan  sistem imunisasi badan dan menjauhkan diri daripada mendapat pelbagai  penyakit yang ada kaitan dengan jerebu .

Semasa musim jerebu, cuaca sekeliling yang kering dan panas  akan meningkatkan keperluan tubuh terhadap cecair. Ini  adalah penting untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat.

Jadi, pastikan anda minum air kosong dengan secukupnya kerana ia mampu meningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak.

Berikut adalah panduan pemakanan ketika jerebu yang disenaraikan oleh Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

1) Tingkatkan pengambilan cecair kepada 6 hingga  8 gelas air atau lebih mengikut keperluan untuk mengelakkan dehidrasi .

2) Minum jus serta makan  buah – buahan  dan sayur- sayuran  yang  kaya dengan  antioksida, vitamin, mineral dan serat  bagi membantu melawan penyakit.

3) Elakkan pengambilan  minuman yang mengandungi banyak kafein seperti kopi dan minuman beralkohol  yang  boleh menyebabkan pembuangan  air kencing yang  kerap dan boleh menyebabkan  dehidrasi.

4) Pengambilan air suam adalah digalakkan  berbanding  minuman sejuk atau berais  kerana  tubuh badan  akan kehilangan haba  dengan cepat yang perlu diganti semula.

5) Kurangkan pengambilan makanan yang  menyebabkan  kehausan dan  dehidrasi seperti makanan masin  atau bergaram.

6) Makan pelbagai makanan mengikut keperluan  untuk memastikan tubuh mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan.

7) Pastikan  semua makanan dan minuman disediakan dalam keadaan bersih, dimasak  dan disimpan dalam keadaan yang sesuai  sebelum digunakan untuk mengelakkan keracunan atau pencemaran makanan.

8) Kekal  aktif  di tempat  yang  sesuai (dalam bangunan / rumah)  tetapi  elakkan atau kurangkan  aktiviti di luar  rumah. Elakkan merokok  kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan pencemaran udara.

9) Anda digalakkan menyediakan sendiri makanan. Jika makan di luar, pilihlah tempat makan yang bertutup atau berada di dalam bangunan.

Makanan yang berasaskan air seperti sup dan singgang adalah bentuk contoh makanan yang baik dimakan untuk meningkatkan pengambilan air ke dalam badan.

Ingat, jaga kesihatan dan sayangi tubuh badan anda demi kelangsungan hidup yang lebih baik!

Rujukan : http://www.moh.gov.my

Kredit foto : 123rf, Pixzolo Photography, Unsplash