911 Teruja Temui Peminat Malaysia Sabtu Ini

Boyband popular dari United Kingdom, 911 kini berada di Malaysia untuk konsert mereka yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Quill Convention Center, Kuala Lumpur.

Dalam sidang media yang diadakan pada Rabu, kumpulan yang popular dengan lagu The Day We Find Love ini mengakui berasa cukup teruja apabila diberitahu tiket Konsert 911 The Reunion telah habis dijual.

911 yang terdiri daripada Lee Brennan, Simon Spike Dawbarn dan Jimmy Constable juga tidak sabar untuk menghiburkan peminat Malaysia selepas hampir 20 tahun tidak muncul mengadakan konsert di negara ini.

“Kami dapat tahu sebanyak 1,500 tiket sudah habis dibeli sejak mula dijual pada 15 April lalu. Kami sememangnya tidak sabar untuk membuat persembahan bagi menghiburkan peminat-peminat kami di Malaysia.”

“Malaysia sangat dekat di hati saya begitu juga para peminat di sini. Saya terharu walaupun telah lama tidak aktif, peminat masih setia menantikan kemunculan kami,” ujar Lee yang turut mengakui mereka akan tampil dengan aksi-aksi bertenaga.

Selain popular dengan lagu The Day We Find Love, 911 yang ditubuhkan pada 1995 di England juga popular dengan lagu-lagu seperti Night To Remember, Love Sensation, Don’t Make Me Wait dan Body Shakin’.

Kumpulan 911 kembali bergabung untuk sebuah rancangan realiti televisyen di United Kingdom pada tahun 2013.

Malaysia merupakan negara Asia pertama yang dilawati 911 sejak mereka kembali bergerak aktif dalam industri hiburan.

Empat album mereka terjual lebih enam juta unit di seluruh dunia dan mereka cukup popular di Asia Tenggara.

Kredit foto : www.ticket2u.com.my