Abbas Ibnu Firnas – Bapa Penerbangan

Dunia Hanita Hassan 13-Okt-2020
dreamstime_s_146421730
Tugu peringatan di Jambatan Abbas Ibnu Firnas, Cordoba, Sepanyol © Heritage Pictures | Dreamstime.com

Dikenali sebagai Cendekiawan Islam Andalusia, seorang saintis yang bukan sahaja pakar dalam  ilmu fizik, kimia dan kejuruteraan tetapi juga perintis penerbangan iaitu enam ratus tahun sebelum Leonardo da Vinci mengembangkan rekaan mesin terbangnya dan ribuan tahun sebelum Wright Bersaudara melakukannya pada 1903 Masihi.  Beliau adalah Abu al-Qasim Abbas Ibnu Firnas (810 – 887 Masihi) atau Abbas Ibnu Firnas – Bapa Penerbangan.

Dunia Barat lebih menjulang nama Roger Bacon sebagai pelopor teori dan konsep kapal terbang. Malah Wright Bersaudara dihebahkan sebagai manusia pertama menerbangkan pesawat.  Sedangkan Roger Bacon lahir 500 tahun selepas Ibnu Firnas.  Manakala jarak kelahiran Wright Bersaudara dengan Ibnu Firnas adalah 1,000 tahun  atau satu alaf.

Pelopor penggunaan payung terjun, pemahaman anatomi burung

Dilahirkan di Ronda, Andalusia, (wilayah Malaga, Sepanyol) beliau adalah pelopor penggunaan payung terjun dan berjaya mereka bentuk, membina dan menguji jentera yang boleh bertahan melakukan penerbangan.  Pemahaman terhadap anatomi burung dan pergerakannya telah membuka pengetahuan baharu iaitu teknik penerbangan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Mulk, 67:19)

Ayat di atas menyeru manusia untuk memerhati penciptaan burung supaya dapat belajar daripadanya dan menghargai kebesaran Yang Maha Pencipta. Pemerhatian terhadap alam sekitar dengan pemikiran yang betul berupaya memberi semangat dalam usaha mendalami ilmu pengetahuan serta mewujudkan penemuan baharu.

Memahami undang-undang alam melalui pengamatan mendalam terhadap isi kandung al-Quran boleh membawa kita mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta. Justeru, melalui pemerhatian terhadap penciptaan burung dan alam, Ibnu Firnas mendapat ilham  mencipta peralatan terbang sekali gus mendorong beliau menjalankan eksperimen secara saintifik.

Pada tahun 875 Masihi, beliau telah berjaya membuat sebuah model pesawat dengan meletakkan bulu pada sebuah bingkai kayu.  Beliau mempamerkan model pesawat itu kepada masyarakat di Cordoba.  Masjid Mezquita, Sepanyol sebagai saksi apabila Ibnu Firnas menerbangkan pesawatnya melalui menara masjid berkenaan. Namun pendaratannya gagal.  Beliau tercedera.

Hakim Al-Andalus (Cendekiawan Andalusia)

Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Manusia yang paling dicintai Allah SWT ialah yang paling berguna bagi manusia.”

(Hadis riwayat Imam At-Tabrani)

Bakat Abbas Ibnu Firnas yang begitu banyak sebagai saintis, pencipta, penyair, ahli falsafah, ahli kimia, ahli muzik dan ahli astrologi sehingga beliau digelar sebagai Hakim Al-Andalus (Cendekiawan Andalusia). Kegagalannya dalam pembangunan penerbangan tidak melemahkan semangatnya.

Ibnu Firnas terus melakukan penyelidikan dan pembangunan dalam cabang ilmu sains  yang  lain.  Beliau merupakan ilmuwan pertama yang menghasilkan kaca yang jernih dari pasir dan batu-batuan.  Beliau memperkenalkan teknik mengukir batu kristal dan mengembangkan prosedur kimia menghasilkan kristal daripada beberapa mineral berbeza.

Pengetahuan sains dan seni yang dibangunkan telah memberi sumbangan yang cukup besar pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Rahman II (memerintah 822 – 852 Masihi) dan Sultan Muhammad I (memerintah 852 -886 Masihi).

Kejayaan Abbas Ibnu Firnas menerbangkan pesawat di udara adalah contoh yang baik kepada muslim agar menjadi inspirasi untuk mencipta lebih banyak kemajuan dunia.  Hari ini kesan langsung daripada penciptaan Ibnu Firnas menyebabkan manusia berjaya mencipta pelbagai jenis pesawat baik untuk kegunaan komersial mahupun ketenteraan.