Abdul Aziz Rahman: peneraju era gemilang MAS

Perniagaan MAS 15-Jun-2020
MAS
MAS © Jaromír Chalabala | Dreamstime.com

Ketika negara memasuki tahun 2020 beberapa bulan lalu, negara dikejutkan dengan berita Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang menghembuskan nafas terakhir pada 22 hari bulan Januari lalu. Almarhum Abdul Aziz akan dikenang sebagai tokoh korporat yang mengangkat Malaysian Airline System (MAS) menjadi satu nama besar kebanggaan negara. Syarikat penerbangan nasional Malaysia ini menikmati tahun-tahun keemasannya antara 1982-1991, semasa beliau mengemudi MAS sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif.

MAS yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad merupakan sebuah syarikat penerbangan yang sangat berdaya maju ketika diterajui oleh Abdul Aziz. Beliau berumur 86 tahun ketika meninggalkan isterinya, Puan Sri Wan Zakiah Ibrahim dan empat orang anak. Beliau juga telah meninggalkan legasi yang sangat besar dalam industri penerbangan dan perundangan Malaysia.

Abdul Aziz berasal dari Kampung Pasir Pekan, Kota Baru dan merupakan anak sulung kepada pasangan Abdul Rahman Ahmad dan Zainah Salleh.  Beliau bersekolah sewaktu zaman penjajahan Jepun dan sistem pendidikan Jepun yang menekankan disiplin dan ketekunan telah memberi kesan positif dalam membentuk keperibadian terbaiknya. Beliau juga menyifatkan ayahnya, seorang guru, sebagai pengaruh terbesar yang telah menanamkan dalam dirinya sifat suka membaca dan sentiasa ingin belajar.

Abdul Aziz belajar di Sekolah Melayu Kampung Pek sebelum lulus Senior Cambridge (Tingkatan Lima) di Ismail English School, Kota Baru. Kemudian, beliau meneruskan pelajaran di Victoria School, Singapura sebelum ke Universiti Malaya, Singapura dalam bidang farmasi. Kerana kurang minat, beliau memendekkan pengajian itu dan kembali ke Kelantan untuk menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1955. Seterusnya, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pegawai Daerah Pasir Mas.

Dua tahun selepas itu beliau dipinjamkan ke perkhidmatan awam dan lulus peperiksaan undang-undang yang membolehkan beliau mempengerusikan kes mahkamah sebagai majistret. Abdul Aziz menerima biasiswa persekutuan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn, London pada tahun 1964. Tiga tahun kemudian, beliau diterima sebagai peguam dan memulakan perkhidmatan dalam bidang kehakiman dan perundangan. Beliau juga pernah menjadi Hakim Mahkamah Sesyen.

Pada tahun 1969, Abdul Aziz dipindahkan ke Jabatan Peguam Negara sebagai peguam persekutuan dan membantu menyediakan draf parlimen. Selepas darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969,  beliau dipindahkan ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Beliau bertugas sebagai Penasihat dan Pegawai Undang-Undang MAGERAN untuk merangka undang-undang bagi memastikan tragedi berkenaan tidak berulang dan mengembalikan ketenteraman negara yang berada di ambang perpecahan.

Pada tahun 1971, berikutan perpecahan Malaysia-Singapore Airlines (MSA) kepada dua entiti berasingan iaitu MAS dan Singapore Airlines (SIA), Abdul Aziz telah dipilih oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Setiausaha dan Pengarah Hal Ehwal Undang-undang MAS. Beliau telah diberi amanah untuk menangani kesan undang-undang dari perpecahan berkenaan. Ini termasuk pembahagian aset seperti pesawat, penyerapan kakitangan ke syarikat baru dan implikasi kewangan. Kerajaan juga mahukan MAS memberi keutamaan kepada penerbangan domestik dengan perkhidmatan serantau sebagai tambahan.

Pada 1 Oktober 1972, MAS memulakan operasi secara rasmi selepas perpecahan MSA di mana SIA memiliki kelebihan lebih besar dengan mengambil alih infrastruktur, pesawat, ibu pejabat dan rangkaian laluan antarabangsa MSA. Ia merupakan masa yang sukar dan mencabar untuk MAS meneruskan operasi selepas perpecahan tersebut. MAS terpaksa bermula dari bawah dengan mengambil kakitangan baru, membeli pesawat, membina infrastruktur seperti hangar dan kemudahan katering serta membangunkan rangkaian penerbangan.

MAS terpaksa berusaha mendapatkan hak untuk beroperasi ke beberapa destinasi antarabangsa dan terdapat banyak cabaran yang perlu diatasi bagi mencapainya. Dalam masa yang sama, MAS juga menerima persaingan hebat daripada syarikat penerbangan yang terlebih dahulu bertapak seperti SIA, Thai Airways dan Cathay Pacific. Namun demikian, di bawah kepimpinan pengurusan kanan seperti Tan Sri Saw Huat Lye dan Abdul Aziz, MAS berjaya berkembang dengan pesat dan seterusnya mendapat kepercayaan untuk mengendalikan perkhidmatan ke Australia dan United Kingdom.

Selepas persaraan Pengurus Besar MAS yang pertama, Tan Sri Saw Huat Lye, Abdul Aziz seterusnya dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif. Semasa zaman keemasan MAS ini, beliau telah mengubah MAS daripada sebuah syarikat penerbangan domestik yang kecil kepada syarikat penerbangan antarabangsa yang menggondol pelbagai anugerah. Beliau telah mengambil  pelbagai langkah drastik termasuk menubuhkan pasukan khas bagi meningkatkan keuntungan, menyelaraskan tenaga kerja dan mengenal pasti laluan penerbangan yang menguntungkan.

Cabaran paling besar yang dihadapi beliau adalah ketika berlakunya Perang Teluk pada 1991. Akibat peperangan tersebut, harga minyak yang merupakan kos terbesar syarikat telah melonjak naik. Permintaan untuk penerbangan ke destinasi Eropah dan Amerika Syarikat turut mengalami kejatuhan teruk. Namun MAS masih mampu mencatat sedikit keuntungan pada tahun tersebut. Sepanjang tempoh beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, MAS menyaksikan perkembangan memberangsangkan terutamanya pada jumlah penumpang, pesawat dan juga laluan penerbangan.

MAS kekal berada dalam fasa pertumbuhan dan landasan yang tepat dan tidak pernah gagal mencatat keuntungan setiap tahun sepanjang tempoh tersebut. Apabila Abdul Aziz bersara pada tahun 1991, beliau meninggalkan MAS dengan rizab tunai sebanyak RM5 bilion, berbanding ketika mengambil alih teraju syarikat pada 1982 di mana MAS berada dalam keadaan defisit sebanyak RM39 juta dan memerlukan dana berjumlah RM70 juta.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.