Abdullah Basmeih: penterjemah tersohor kalam Ilahi

Agama Ahmad Mahmud 19-Mei-2020
Al-Quran dengan terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih
Al-Quran dengan terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih © Mohd Kafii Isa - Dreamstime.com

Termaktub dalam Al-Quran, surah ke 34, iaitu surah Saad, ayat 29 yang menyatakan: ‘(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad) – Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.’ Hakikat ini telah menyebabkan masyarakat Muslim di seluruh dunia menghasilkan terjemahan dan tafsiran Al-Quran yang mulia dalam bahasa ibunda mereka. Bagi Malaysia, lahirlah ‘Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran’ yang diterjemahkan serta diberi penjelasan oleh Sheikh Abdullah Basmeih.

Sheikh Abdullah bin Sheikh Muhammad Basmeih adalah nama yang berkemungkinan tidak begitu dikenali dalam sejarah, mahupun arus perdana bidang penterjemahan Al-Quran. Namun begitu, hasil kerja terjemahan dan tafsiran Al-Quran versi Melayu ini adalah satu-satunya versi bahasa Melayu yang digunakan dalam dunia pada masa ini. Kitab tafsir ini digunapakai secara meluas di kalangan masyarakat Islam Malaysia. Malahan, ia juga diiktiraf oleh kerajaan sebagai kitab tafsir rujukan bagi masyarakat Muslim tempatan.

Sheikh Abdullah dilahirkan di Maabdah, sebuah kawasan di persekitaran Masjidil Haram, di Makkah, Arab Saudi pada 29 Disember 1913/5. Beliau telah berhijrah mengikut bapanya ke Tanah Melayu ketika berumur 12 tahun. Bapanya bernama Syeikh Muhammad Basmeih bin Salleh Basmeih berasal dari Hadhramaut, Yaman, dan ibunya Aisyah binti Abdullah berasal dari Bishah, di Asir, Arab Saudi. Sebagai seorang berbangsa Arab, ayahnya kerap berulang-alik ke Tanah Melayu kerana membawa jemaah haji Melayu. Persekolahan dan pembelajaran agama rendahnya semua berlaku di Makkah, dan kemudian di Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Melaka, di mana keluarganya menetap.

Sheikh Abdullah adalah seorang yang gigih, cepat menguasai bahasa Melayu dengan baik dan kemudian lulus Darjah Lima. Beliau amat gemar membaca dan terus menimba ilmu pengetahuan dengan belajar sendiri, antaranya karya-karya Pendita Zaaba. Akibat desakan hidup, beliau terpaksa bekerja awal dan melakukan banyak pekerjaan. Beliau juga turut berkecimpung dalam dunia penulisan dengan nama pena ‘Penulis Melaka’ sewaktu bekerja di sebuah maktab. Sewaktu berhijrah ke Singapura pada tahun 1950, beliau telah bekerja di Qalam Press selama lebih daripada 10 tahun. Keupayaannya kemudian diiktiraf oleh akhbar Utusan Melayu di Kuala Lumpur yang telah menawarkan peluang bekerja, di mana antara jawatan yang disandangnya termasuk penterjemah, penyunting dan pengarang.

Latar belakang usaha penterjemahan Al-Quran ini bermula ketika Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama, hasil daripada keputusan Persidangan Majlis Raja-Raja pada 13 Jun 1963. Usaha ini kemudian berpindah ke Jabatan Perdana Menteri dan dimulakan oleh Ustaz Faisal Othman. Sheikh Abdullah kemudiannya telah mengambil alih peranan sebagai penterjemah berdasarkan latar belakangnya dan meneruskan kerja-kerja penterjemahan dalam tulisan Jawi, yang kemudiannya menjadi asas kepada naskah Rumi.

Terjemahan Kitab tafsir dalam tulisan Jawi telah disiapkan dalam tiga peringkat bermula awal 1968 dan siap penuh dalam tahun 1972. Versi tulisan Rumi pula selesai dihasil dan diterbitkan cetakan pertamanya pada tahun 1980. Amanah untuk menterjemahkan kandungan Kitab ini ke dalam versi Jawi dan Rumi, telah dijalankan dengan cemerlang. Tata bahasanya disusun dengan baik dan huraiannya jelas. Penyelenggaraan naskah Rumi membolehkan tafsiran dan isi kandungan Al-Quran dapat difahami dengan lebih jelas dan mendalam. Kitab tafsir lengkap 30 juzuk bertulisan Jawi dan Rumi ini mudah difahami gaya bahasanya, dan membolehkan semua golongan menggunakannya mengikut keselesaan masing-masing.

Kitab Tafsir ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Sheikh Abdullah telah menggunakan lebih daripada 20 rujukan kitab-kitab muktabar sebagai punca kajian pentafsirannya. Selain itu, Kitab ini mempunyai jawatankuasa pengesahannya sendiri oleh kerajaan Malaysia. Terjemahan ini juga telah disemak oleh seorang ilmuwan yang disegani yang juga mufti negeri Kelantan, Dato’ Haji Muhammad Noor. Sumbangan Sheikh Abdullah telah memberikan faedah yang banyak dan menjadi sumber dan panduan kepada pembaca Melayu semenjak tahun 1968 sehingga kini. Semangat dan keazaman beliau dalam menegakkan Islam dan orang Melayu, walaupun bukan berbangsa Melayu, sememangnya amat dihargai dan akan menjadi warisan Melayu yang sangat bernilai.