Abdullah bin Hudzafah r.a dan Raja Rom: Menangis bukan takut mati

Sejarah Aimi Azhary
Aimy Azhary
Abdullah bin Hudzafah r.a dan Raja Rom: Menangis bukan takut mati
Abdullah bin Hudzafah r.a dan Raja Rom: Menangis bukan takut mati © Shakeelmsm | Dreamstime.com

Setiap sahabat Nabi SAW mempunyai darjat yang tinggi di sisi agama. Antara sahabat baginda SAW yang cukup masyhur ceritanya adalah Abdullah bin Hudzafah as-Sahmi r.a.

Pada zaman Saidina Umar r.a, Abdullah bin Hudzafah diamanahkan memimpin tentera Islam untuk menguasai sebuah kawasan taklukan Rom iaitu Qaisariyah (Caesarea), namun gagal.

Heraclius, raja Rom ketika itu telah menawan, menyeksa dan memaksa mereka supaya memasuki agama Kristian.

Kekalahan bermaruah dan penyeksaan Abdullah bin Hudzafah r.a

Setelah penyeksaan demi penyeksaan, Abdullah bin Hudzafah r.a dipanggil lalu diberikan tiga tawaran iaitu:

  1. Harta yang banyak dan mewah
  2. Peluang mengahwini puteri raja Rom
  3. Jawatan yang tinggi dalam kerajaan Rom

Tiga tawaran tersebut ditolak mentah-mentah oleh Abdullah. Heraclius yang tidak berputus asa lalu membentangkan tawaran yang lebih besar. “Masuklah Kristian, maka separuh kerajaanku dan separuh hartaku akan menjadi milikmu!”

Ibn Hudzafah menjawab:

“Andai diberikan kepadaku seluruh harta kerajaan Rom, dan ditambah dengan seluruh harta orang Arab sekalipun, kaki ini tidak akan pernah berganjak dari agama Muhammad!”

Heraclius naik berang lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas seluruh tawanan Islam ketika itu.

Dipenjara menunggu maut, menangis di ambang kematian

Ketika dipenjarakan, Abdullah bin Hudzafah r.a tidak diberikan makanan mahupun minuman selama tiga hari. Setelah itu, diberikan hidangan berupa khinzir dan arak kepadanya namun tidak dipandang.

Heraclius bertanya: “Mengapa engkau tidak menjamahnya? Bukankah agama engkau membenarkannya ketika darurat?”

Ibn Hudzafah berkata:

“Sememangnya darurat membolehkan aku menjamahnya, tetapi aku menolak kerana aku tidak mahu membenarkan penghinaan engkau terhadap Islam.”

Sekali lagi Heraclius dimalukan lalu dengan marahnya mengarahkan agar Hudzafah disalib. Setelah disalib, beliau dibawa menyaksikan sebuah bekas besar berisi air yang sedang menggelegak. Kemudian, dicampak seorang demi seorang daripada kalangan tawanan muslim.

Lalu terpisah daging dan tulang dek kerana air yang sungguh dahsyat panasnya. Abdullah bin Hudzafah r.a yang menyaksikan peristiwa itu menangis. Ini menyebabkan Raja Heraclius terus menghentikan upacara tersebut kerana menyangka beliau sudah berjaya mematahkan semangat Ibn Hudzafah.

Menangis bukan kerana takut mati

Heraclius dengan rasa senang hati bertanya: “Mengapa engkau menangis? Mahukah engkau memasuki agamaku?”

Ibn Hudzafah pun menjawab:

“Aku menangis kerana aku hanya mempunyai satu nyawa, dan nyawa itu bakal melayang sekiranya aku dicampakkan ke dalam air tersebut. Alangkah beruntungnya jika nyawaku sebanyak bulu yang ada di badan, maka pasti akan aku gunakan kesemuanya ke jalan Allah.”

Jawapan beliau menyebabkan raja Rom itu tersentak dan merasa sangat malu. Demi menjaga air mukanya, Heraclius terus memberikan tawaran terakhir: “Mahukah kau mencium kepalaku, akan kulepaskan engkau daripada tawananku?”

Ibn Hudzafah menjawab:

Aku setuju dengan syarat engkau bebaskan juga seluruh tawanan muslim dari penjara Rom (hampir 300 orang).”

Heraclius bersetuju, lalu dicium kepalanya oleh Ibn Hudzafah.

Bijak menilai keutamaan

Sebahagian masyarakat Islam ketika itu memandang hina akan tindakan Ibn Hudzafah r.a mencium kepala raja Rom. Seolah-olah tidak peduli akan besarnya kesan tindakan tersebut.

Oleh sebab itu, Saidina Umar r.a bertindak menyatakan pendapatnya kepada khalayak ramai, bersetuju dengan tindakan Ibn Hudzafah lalu berkata:

“Semua umat Islam mesti cium kepala Ibn Hudzafah, dan aku adalah orang pertama yang akan mencium kepalanya.”

Perbuatan itu lalu diikuti oleh masyarakat Islam yang lain.