Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Abdullah Quilliam, Muslim British pengasas masjid pertama England

Eropah 14 Feb 2021
Md Wa'iz
Abdullah Quilliam, Muslim British pengasas masjid pertama England
Abdullah Quilliam, Muslim British pengasas masjid pertama England © en.yabiladi.com

Bolehkah anda meneka siapakah individu yang menubuhkan masjid pertama di England? Jika anda tidak tahu, kami berikan jawapannya. Beliau ialah William Henry Quilliam atau lebih dikenali sebagai Abdullah Quilliam.

Berikut adalah kisah menarik mengenainya.

Kehidupan awal Abdullah Quilliam

Abdullah Quilliam telah dilahirkan pada 10 April 1856 di Liverpool, England. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang beragama Kristian Protestan (Gereja Wesleyan Methodist). Awal kehidupan semasa zaman kanak-kanaknya banyak dihabiskan di Isle of Man.

Beliau telah mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang di Liverpool Institute dan menjadi seorang peguam selepas itu. Beliau merupakan seorang peguam jenayah dan banyak terlibat dalam kes-kes pembunuhan berprofil tinggi.

Malah beliau mendapat gelaran sebagai ‘Unofficial Attorney-General of Liverpool’ ketika bertugas sebagai peguam.

Memeluk Islam selepas ke Maghribi

Minatnya kepada agama Islam mula berputik sewaktu beliau berkunjung ke Tangier, Maghribi. Pada ketika itu, beliau sedang menikmati waktu makan bersama seorang Muslim dan juga seorang Yahudi.

Sewaktu bersama mereka ini, setiap seorang akan ditanya mengenai agama mereka dan masing-masing perlu memepertahankan kepercayaan mereka. Pada ketika inilah, Abdullah telah tertarik dengan ajaran Islam setelah mendapat banyak keraguan mengenai kepercayaannnya.

Pada tahun 1887, beliau mengambil keputusan memeluk Islam dan mengisytiharkan keislamannya melalui media setahun selepas itu.

Abdullah Quilliam mengasaskan masjid pertama England

Abdullah Quilliam telah membeli sebuah unit bangunan di Liverpool dan dua unit lagi melalui pinjaman bank. Pembelian ini dibantu melalui sumbangan derma daripada Putera Nasrullah dari Afghanistan.

Di satu unit, beliau telah menjadikannya sebagai sebuah masjid. Manakala di dua unit berasingan, ia telah menjadikannya sebagai sebuah sekolah berasrama untuk lelaki dan juga perempuan.

Kesemua masjid dan sekolah berasrama ini berada di bawah satu institut yang dikenali sebagai Liverpool Muslim Institute. Liverpool Muslim Institute yang beralamat di 8 Brougham Terrace ini diiktiraf sebagai pusat Islam pertama di Britain dan masjidnya itu adalah masjid pertama di England.

Syeikh Al-Islam bagi Britain

Pada tahun 1891, Abdullah telah dilantik oleh Sultan Uthmaniyah, Sultan Abdul Hamid II sebagai Syeikh Al-Islam bagi United Kingdom. Malah, Sultan Abdul Hamid II telah mengurniakannya dengan cop mohor perak bagi mengesahkan kedudukannya sebagai seorang Syeikh Al-Islam.

Pemerintah Afghanistan juga mengiktiraf beliau sebagai Sheikh of Muslims bagi Britain.

Berkhidmat untuk Islam hingga akhir hayat

Pada tahun 1908, Abdullah telah pergi ke Istanbul bersama anaknya dan menetap di sana. Ini kerana beliau melindungi dirinya daripada permusuhan dan juga penganiyaan yang dihadapinya di England. Ia boleh dikatakan sebagai Islamofobia pada ketika itu.

Setelah menetap di Istanbul dalam tempoh yang agak lama, beliau kembali pulang ke Britain dan menyamar dengan menggunakan nama rakan lamanya yang juga seorang mualaf, Henri Marcel Leon (HM Leon). Menurut beberapa sumber, beliau telah menggunakan nama HM Leon yang juga bermakna Haroun Mustapha Leon.

Beliau terus berperanan menyebarkan dakwah Islam sehinggalah beliau meninggal dunia pada 28 April 1932 di tanah perkuburan Brookwood di Woking, Surrey berdekatan dengan London.