Abu Aswad, individu yang meletakkan titik penandaan pada ayat al-Quran

Agama Md Wa'iz 28-Sep-2020
dreamstime_s_95967459
Manuskrip al-Quran dari abad ke-12 di sebuah muzium di Madinah, Arab Saudi © Ayşegül Muhcu | Dreamstime.com

Pada awal zaman pengumpulan dan penulisan al-Quran, ayat-ayat al-Quran masih tidak mempunyai sebarang titik ataupun baris. Pada ketika itu, orang-orang bukan Arab mempunyai kesukaran untuk membezakan antara huruf-huruf yang berbentuk sama disebabkan tiada titik yang membezakannya.

Apabila muncul hal seperti ini, wujud satu usaha untuk mula memberikan titik dan juga baris kepada huruf-huruf ayat al-Quran agar ia mudah dibaca. Siapakah mereka yang bertanggungjawab dalam memberikan titik serta baris pada ayat al-Quran ini?

Pada fasa pertama pengumpulan al-Quran, ayat-ayat al-Quran yang telah dikumpulkan masih tidak mempunyai sebarang titik, harakat atau baris padanya. Kesemua penandaan pada ayat ini dilakukan pada fasa kedua pengumpulan dan penulisan al-Quran.

Orang pertama yang melakukan kerja-kerja penandaan ayat ini adalah seorang individu bernama Abu Aswad al-Duali yang merupakan seorang pakar bahasa Arab. Abu Aswad merupakan seorang sahabat yang rapat kepada Khalifah Islam yang keempat iaitu Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

Beliau adalah orang pertama yang meletakkan tanda huruf vokal dan huruf konsonan pada huruf-huruf Arab supaya orang-orang Islam dapat mengenalnya dengan lebih tepat. Selain itu, Abu Aswad juga adalah orang pertama yang menulis buku berkenaan tatabahasa bahasa Arab (ilmu Nahu), selain orang pertama yang mengarang buku linguistik bahasa Arab.

Antara tujuan utama Abu Aswad mengusahakan penandaan huruf-huruf Arab adalah untuk memudahkan bangsa bukan Arab membaca al-Quran. Ini kerana, Abu Aswad pernah mendengar orang Islam membaca al-Quran dengan cara yang salah. Selain itu, terdapat juga isu di mana dia pernah melihat orang-orang Arab pernah mengetawakan seorang individu yang tersalah menyebut perkataan Arab.

Abu Aswad memulakan kerja-kerja penandaan ayat dengan meletakkan titik-titik bagi tujuan penandaan baris. Titik yang berada di atas huruf atau ayat bermakna baris atas, manakala titik yang berada di bawah huruf adalah baris bawah. Titik yang berada selepas huruf pula adalah baris hadapan.

Kemudian, kerja-kerja penandaan huruf ini diteruskan oleh anak murid Abu Aswad sendiri iaitu Nasir Ibnu Asim. Nasir Ibnu Asim bersama-sama Yahya Ibnu Ya’mur telah meletakkan titik pada huruf Arab seperti yang kita lihat pada masa sekarang. Sebagai contoh, titik di bahagian bawah menunjukkan huruf Ba, manakala titik di bahagian atas menunjukkan huruf Nun.

Seterusnya, penandaan ayat al-Quran diteruskan oleh seorang lagi individu bernama Khalid Ibnu Ahmad. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab meletakkan tanda harakat pada ayat al-Quran seperti tanda Mad, Alif kecil, dan juga Sabdu.

Individu terakhir yang menyiapkan tanda pada ayat al-Quran ialah seorang ulama yang bernama Al-Sajawandi. Beliau bertanggungjawab meletakkan tanda wakaf iaitu tanda berhenti yang sesuai pada ayat al-Quran supaya ia lebih tepat untuk dibaca.

Usaha-usaha oleh ulama bahasa Arab pada zaman dahulu telah memudahkan kita untuk membaca al-Quran dengan baik walaupun kita bukanlah berbangsa Arab. Kita perlu bersyukur atas nikmat dapat membaca al-Quran ini kerana dengan membacanya sahaja, kita telah mendapat pahala yang berlipat ganda.