Ada apa dengan Van Der Wijck?

Suka Hanita Hassan 20-Jun-2020
Cetakan pertama (Malaysia), 1963 - Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Buya Hamka © facebook.com/thereadingroomncafe

Karya sastera yang baik bukan sahaja dapat mengisi ruang emosi pembaca, tetapi juga menghadirkan sama mesej-mesej secara halus yang tanpa sedar berupaya membantu masyarakat seluruhnya untuk mengharungi kehidupan ini.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah novel yang terbit pada tahun 1938 karya penulis besar dari  Indonesia iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau HAMKA.  HAMKA atau Buya Hamka juga adalah seorang ulama Islam Nusantara. Di sini, beliau melihat tradisi tempatan menghalang kemajuan agama serta peranan wanita yang tidak kurang pentingnya.

Beliau mengkritik masyarakat Minang yang begitu dikuasai oleh adat sehingga berlaku diskriminasi terhadap orang yang bercampur bangsa.  Seperti watak utama yang ditampilkan iaitu Zainudin ialah orang Makasar.  Ayahnya berdarah Minangkabau dan ibunya berketurunan Bugis.

Zainudin dianggap seorang yang tidak bersuku dan statusnya tidak diterima dalam masyarakat Minang. Sedangkan Hayati, gadis idaman Zainudin adalah gadis bangsawan Minang tulen. Akibatnya percintaan mereka tidak direstui oleh keluarga Hayati yang menganggap cinta hanyalah khayalan dongeng yang hanya tertulis di dalam kitab.

Sebagai gadis kebanggaan keluarga, Zainudin yang tidak bersuku dianggap tidak sesuai untuk digandingkan dengan Hayati.   Konflik berlaku apabila abang kepada kawan Hayati iaitu Aziz muncul dalam hidupnya.  Aziz bukan sahaja punya rupa tetapi juga seorang yang berharta.  Keluarga Hayati juga menerima Aziz dengan baik.

Hamka turut mengkritik peranan wanita yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu kekal menjadi isteri yang ideal di mata suami walaupun dianiaya dan bercanggah dengan syariat Islam dan akal. Inilah sikap orang kaya yang cuba digambarkan oleh Hamka yang menganggap moden itu boleh melakukan apa sahaja termasuk berpakaian mendedahkan aurat, merelakan suaminya minum arak, bersama dengan wanita lain di kelab dan berjudi.

Patah hati dan kecewa dengan keputusan Hayati telah membawa Zainudin dan rakan baiknya Muluk ke Jakarta dan kemudian ke Surabaya. Di sana dia membina kerjaya sebagai penulis yang sangat berjaya, mempunya nama, harta dan  seorang yang sangat derwaman.

Aziz dan Hayati yang sudah bernikah juga berpindah ke Surabaya atas alasan kerja.  Tanpa sengaja bertemu dengan Zainudin di satu majlis yang ketika itu sudah menjadi orang terkenal.  Kehidupan Aziz dan Hayati semakin buruk sehingga jatuh miskin dan terpaksa menumpang di rumah Zainudin.

Akibat kesengsaraan hidup, Aziz membunuh diri.  Sebelum meninggal dunia dia telah berpesan kepada Zainudin agar melindungi Hayati.  Zainudin yang pernah dikhianati tidak dapat menerima kembali wanita itu dalam hidupnya.

Hayati hampa dan pulang semula ke kampung halamannya di Batipuh menaiki sebuah kapal penumpang dan barang milik Belanda iaitu Van Der Wijck.  Malangnya kapal tersebut menghadapi masalah dan tenggelam di Laut Jawa.

Zainudin segera mencari Hayati yang ditempatkan di rumah sakit di Tuban.  Sayangnya wanita kesayangannya itu tidak dapat diselamatkan. Sejak peristiwa itu, Zainudin jatuh sakit dan  meninggal dunia.  Dia dikuburkan bersebelahan pusara kekasihnya.

Tragedi tenggelamnya kapal Van Der Wijck adalah kisah benar yang berlaku pada 20 Oktober 1936 dalam perjalanan dari Bali ke Semarang.  Tema dan konflik percintaan, adat dan kekeluargaan yang diangkat dalam karya besar ini (yang juga telah diterjemahkan ke layar perak) sentiasa segar dari dahulu hingga kini.

Semoga lebih banyak karya sastera yang baik, yang memberi pengajaran seperti karya-karya Buya Hamka dapat dihasilkan di pasaran.  Selamat membaca.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!