Adab Dalam Menggunakan Media Sosial

Sedarkah anda bahawa medium komunikasi harian kita pada masa ini sebenarnya lebih banyak menggunakan aplikasi media sosial berbanding komunikasi interpersonal sesama manusia?

Ledakan pelbagai aplikasi media sosial pada zaman teknologi ternyata telah banyak mengubah gaya hidup kita terutamanya cara kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling.

Secara tidak langsung, sedarkah anda bahawa kita sebenarnya menunjukkan keperibadian kita kepada rakan-rakan tanpa disedari hanya dengan menggunakan medium media sosial.

Misalnya, jika anda seorang pengguna media sosial yang gemar berkongsi berita yang tidak sahih, anda akan digambarkan sebagai seorang yang suka bergosip dan mudah mempercayai sesuatu khabar angin.

Sebaliknya, jika anda seorang yang gemar menulis sesuatu yang negatif pada posting anda, anda akan dilihat sebagai seorang yang negatif atau suka bercakap mengenai keburukan orang lain.

Meskipun ada kalanya apa yang kita tonjolkan di media sosial sebenarnya bukanlah keperibadian kita yang sebenar, namun kita tidak boleh menyalahkan orang lain jika mereka mempunyai stigma yang salah mengenai diri kita kerana kita sendiri yang menonjolkan sifat-sifat tersebut.

Maka disebabkan itu, kita hendaklah menjaga adab-adab ketika menggunakan laman media sosial bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku kepada diri kita.

Berikut kami senaraikan antara adab yang perlu dijaga untuk menjadi seorang pengguna media sosial yang bertanggungjawab.

  • Menyampaikan perkara yang baik

Sebagai seorang Muslim yang baik, kita sering diseru untuk saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran kerana ia adalah sebahagian daripada dakwah. Secara tidak langsung, ia turut membawa ganjaran pahala kepada kita.

Nabi Muhammad S.A.W. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. berkata: “Barangsiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak mana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya.” – HR Muslim

  • Pastikan sahih sebelum disebarkan

Masalah utama yang semakin parah yang berlaku di laman-laman media sosial adalah penyebaran maklumat palsu dan tidak sahih secara berleluasa.

Gejala ini dilakukan oleh sebahagian besar daripada kita tanpa sedikit pun rasa bersalah. Tidak takutkah kita pada dosa yang perlu ditanggung akibat memfitnah seseorang atau sesuatu yang tidak sahih?

Justeru, apabila terbaca sebarang maklumat di media sosial, pastikan ia benar-benar sahih sebelum menyebarkannya. Jika anda sendiri tidak pasti, janganlah menyebarkan maklumat tersebut dan biarkan sahaja ia berlalu di newsfeed anda.

  • Menjaga batas-batas pergaulan

Selain menjadi platform menyebarkan maklumat, media sosial juga merupakan sebuah medan untuk kita berkenal-kenalan dengan rakan baharu atau mencari semula rakan-rakan lama yang terpisah, mahupun mengekalkan hubungan silaturahim sesama kenalan.

Ada kalanya kita terbaca perbualan komen antara pengguna lelaki dan perempuan yang dilihat agak melampaui batas di media-media sosial.

Sebagai satu platform yang boleh diakses oleh masyarakat umum, batas-batas pergaulan dan ikhtilat antara jantina yang berbeza perlulah dijaga bagi mengelakkan berlakunya fitnah, terutamanya bagi yang sudah berumahtangga.

Jangan terlalu mesra atau bergurau menggunakan perkataan-perkataan yang intim atau melampaui batas kerana ia mampu menjadi penyebab kepada pergolakan rumah tangga.

  • Menjaga aib

Pada hari ini, setiap orang seakan-akan berluma-lumba untuk mempertontonkan kehidupan peribadi masing-masing sehingga adakalanya hal yang dipertontonkan itu mampu mengaibkan diri sendiri atau orang lain.

Lebih malang, ada pengguna media sosial yang memuatnaik video suami mereka yang sedang tidur tanpa memakai baju ataupun memuatnaik gambar anak kecil yang sedang mandi berbogel.

Sebagai seorang isteri, jagalah aib suami dengan tidak mempertontonkan perkara-perkara tidak manis dilihat orang orang ramai. Begitu juga dengan maruah anak-anak kecil anda yang masih belum dapat memahami apa-apa.

Selain itu, hentikanlah juga tabiat suka mengaibkan orang lain dengan menjaja cerita buruk mengenai orang lain di media sosial atau memuatnaik gambar orang lain yang pada ketika itu berada dalam keadaan yang kurang sopan.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar R.A bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutupi (aib) seseorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” – HR Al- Bukhari

  • Jangan berkata yang buruk mengenai orang lain

Jangan sesekali menjadi seorang yang negatif dengan sering menulis perkara-perkara buruk mengenai orang lain.

Setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing, dan kita sendiri pun ada banyak kelemahannya.

Jadi, siapalah kita untuk memperkatakan perkara yang buruk mengenai orang lain jika diri kita sendiri pun setiap hari melakukan dosa?

Janganlah terlalu ghairah menjaja keburukan orang lain di media sosial dan memburuk-burukkan orang lain seolah-olah hanya kita sahaja manusia yang baik, betul dan sempurna di dunia ini tanpa sebarang cacat cela.

  • Sentiasa bersikap positif

Jadilah seorang pengguna media sosial yang sering bersikap positif dengan berkongsi maklumat-maklumat positif, ilmu-ilmu yang berguna, nasihat agama, kata-kata motivasi atau meninggalkan komen yang positif kepada rakan-rakan lain.

Cuba anda tanya kepada diri sendiri. Adakah anda berasa selesa melihat posting rakan-rakan yang sentiasa positif? Adakah anda berasa rimas atau tidak suka membaca posting rakan-rakan yang sering menulis perkara-perkara yang negatif.

Orang yang sentiasa bersikap negatif akan dipandang serong dan jangan terkejut jika ada rakan-rakan anda yang bertindak untuk ‘block’ atau ‘hide’ posting anda kerana tidak mahu terpengaruh dengan sikap negatif anda itu.

Sebaliknya, jika anda sentiasa bersikap positif dan berkongsi perkara-perkara yang mampu memberi kegembiraan atau motivasi kepada orang lain, pasti rakan-rakan anda akan berasa senang dengan anda.

Jadi, pilihan di tangan anda.

Sama ada untuk menjadi seorang pengguna media sosial yang bertanggungjawab, disenangi rakan-rakan dan mendapat pahala sambil melayari media sosial, atau untuk menjadi seorang yang dibenci, tidak bertanggungjawab dan menanggung pelbagai dosa ‘senyap’?

Anda pilihlah sendiri.

Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor

Foto: Adam Jang, Erik Lucatero, Hans Vivek & Jon Tyson (Unsplash), Omkar Patyane, Ashutosh Sonwani, Tracy Le Blanc, Rawpixel & Pixabay (Pexels)