Adab dan tingkah laku terpuji dalam Islam

Cantiknya adab tradisi Melayu © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Sopan santun dan budi pekerti yang baik adalah sesuatu yang lazim dalam ciri-ciri baka orang Melayu dan seluruh masyarakat di kepulauan Nusantara. Namun, pastikan tatasusila ini sentiasa terus mekar dalam setiap aspek kehidupan masyarakat setempat.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Demikian firman Allah SWT dalam Al-Quran, surah Al-Ahzaab (33), ayat 21.

Sebagai umat Muslim beragama Islam, kita disarankan untuk meneladani Nabi Muhammad SAW yang kita sayangi. Memahami Baginda juga bermakna mengerti akan pentingnya kelakuan dan adab terpuji sebagai seorang Muslim.

Sebagai manusia, sudah pasti ada kalanya adab kita diuji. Contohnya, kita mungkin berada dalam situasi di mana ada orang lain yang berlaku tidak adil terhadap kita. Maka, tidak kira dengan siapa atau apa masalah di depan mata, Islam mengajar kita untuk menjaga akhlak.

Semasa menghadapi sesuatu keadaan, sudah pasti kita perlu sentiasa terus menjaga sopan santun diri. Ini adalah sebahagian daripada menjadi seorang Muslim, iaitu mengikuti teladan Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman mengenai hal ini dalam Al-Quran, surah Al-Qalam (68), ayat 4: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Walaupun menjaga sopan santun dan akhlak sebegini kadang-kadang amat sukar, dengan menghargai kesopanan dan nilai santun serta berhati-hati dengan tingkah laku sendiri, ini akan menjadi kebiasaan secara beransur-ansur. Apabila kita makin faham dengan cara kita memperlakukan orang lain, ia akan menjadi peringatan berguna untuk diri sendiri.

Baginda Nabi SAW amat menekankan perbuatan dan tingkah laku yang baik. Pentingnya amalan sebegini juga akan dirasai apabila semua perbuatan kita diperhitungkan kelak. Oleh itu, teruslah berusaha untuk menerapkan tingkah laku yang baik dalam kehidupan seharian kita sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari: “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang berakhlak mulia.”

Jelas sudah kepentingan untuk mengutamakan akhlak dan adab yang baik kerana dalam hidup di dunia ini, akhirnya kita mahu menyenangkan Allah SWT dan sentiasa mengingati-Nya dalam semua perkara yang kita lakukan. Dan dalam melakukannya, teruskan memperbaiki diri secara maksima dalam menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

“Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang-orang yang baik perilakunya, dan orang-orang yang memiliki sifat yang lembut terhadap keluarganya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, an-Nasai dan al-Hakim)

Perwatakan yang baik dan menyantuni keluarga sebaiknya telah digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pengajaran lain di sini juga ialah kepentingan memiliki iman yang sempurna. Adab dan budi pekerti secara langsung mempengaruhi tahap iman seorang Muslim. Oleh itu, jangan dilunturkan perkara ini dan jadikan adab dan akhlak mulia sebagai kebiasaan utama kita dalam kehidupan sehari-hari.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!