Adab kita dengan guru dan ilmu

Kehidupan Hanita Hassan 25-Sep-2020
dreamstime_s_190339781
Adab kita dengan guru dan ilmu © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Kehidupan kita sentiasa terikat dengan peraturan dan panduan. Apatah lagi apabila berhadapan dengan guru yang telah memberi banyak tunjuk ajar dan ilmu pengetahuannya. Islam amat menghargai guru, iaitu pendidik yang bertanggungjawab memikul tugas mulia dan sentiasa diyakini sebagai orang yang memiliki ketinggian ilmu, akhlak dan tingkah laku yang baik.

Firman Allah SWT dalam al-Quran: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”  (Surah Al-Mujadalah, ayat 11).

Sebagai pelajar, kita hendaklah menghormati kedudukan guru dan memahami adab ketika berhadapan dengan mereka. Kita memelihara akhlak agar tidak melanggar batas yang ditetapkan oleh Islam. Setiap kali kita melakukan sesuatu perbuatan atau percakapan yang tidak elok, ketika itu tanpa sedar, kita sebenarnya sedang merendahkan kemuliaan diri di hadapan Allah SWT.

Allah SWT ketika menciptakan manusia, memuliakan kita daripada makhluk-Nya yang lain sepertimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.”  (Surah al-Israa, ayat 70)

Rasulullah SAW sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya akhlak Baginda diperbaiki.  Daripada Aisyah r.a, Rasulullah sering berdoa: “Ya Allah, sebagaimana Engkau menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.”  (Musnad Imam Ahmad)

Daripada Abu Darda r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Amal yang menjadikan timbangan seorang mukmin berat pada hari kiamat adalah akhlak mulia. Sesungguhnya Allah SWT benci orang yang melampaui batas dan tidak bersopan santun.”

Beradab di hadapan guru sangat diutamakan supaya apa yang dipelajari lebih diberkati. Imam Al-Ghazali r.a amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu.  Beliau mengkhususkan satu bab dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din tentang adab bersama guru. Bahkan, Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan: “Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baharu mempelajari ilmu.”  (rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira, 1/446)

Imam Al-Ghazali r.a dalam kitabnya ini telah menukilkan kisah adab dan akhlak Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah terhadap gurunya Imam Al-Syafi’e r.a. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku  mendoakan untuk al-Imam Al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya.”

Ketika Imam Al-Syafie r.a menuntut ilmu bersama Imam Malik r.a, beliau tidak berani menyelak helaian kitabnya melainkan dengan cara yang sangat perlahan kerana bimbang bunyi itu mengganggu gurunya.  Imam Rabi’ r.a pula tidak berani minum walau seteguk air sekalipun di hadapan Imam Syafie kerana sangat hormat kepada gurunya.

Sesungguhnya setiap guru tidak pernah mengharapkan balasan daripada usahanya. Namun sebagai pelajar, kita hendaklah menghargai ilmu yang disampaikan. Kita doakan guru, bersabar dengan ketegasan guru, bersopan dalam majlis ilmu dan memberi perhatian terhadap setiap perkara yang disampaikan guru.