Adab membaca Al-Quran

Baca Quran dengan adab © Leo Lintang | Dreamstime.com

Al-Quran adalah kitab Allah SWT yang penuh dengan keagungan, kesucian dan kehebatan.  Allah berfirman yang bermaksud: “Apabila al-Quran itu dibacakan, dengarkan dan diam supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf, ayat 204)

Apabila kita membaca al-Quran, ada adab-adab yang perlu dilazimi.  Secara fizikal yang dibincangkan oleh Imam Nawawi ialah membersihkan mulut dengan siwak atau peralatan bersesuaian sebelum membaca al-Quran.

Kita juga perlu memilih tempat yang bersih.  Kita digalakkan membacanya di dalam rumah Allah SWT iaitu di masjid.  Walau bagaimanapun tidak bersalahan jika kita  membacanya di rumah, pejabat, di dalam kenderaan dan di mana-mana sahaja.  Asal sahaja  kita mengikut adab-adab yang ditetapkan.

Masjid adalah tempat yang sesuai kerana sudah terjamin kemuliaannya.  Masjid juga bersih selain dapat mendorong kita melakukan ibadat lain yang tidak kurang penting.  Sekiranya kita niat beriktikaf atau berada dalam masjid untuk beribadat, maka kita akan mendapat pahala daripada niat tersebut.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan tidak ada suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah SWT, lalu mereka membaca kitab Allah dan mempelajarinya sesama mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat meliputi mereka, malaikat akan menaungi mereka dan Allah akan menyebut mereka di hadapan malaikat di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam Nawawi menyebut bahawa waktu yang paling baik membaca al-Quran adalah ketika menunaikan solat.  Apabila membacanya di luar waktu solat, waktu paling baik ialah pada sepertiga malam.  Manakala waktu paling disukai adalah di antara Maghrib dengan Isyak atau selepas solat Subuh.  Hari yang paling baik ialah Jumaat, Isnin, Khamis dan hari Arafah, sepanjang Ramadan terutama pada 10 hari terakhir dan 10 hari pertama Zulhijjah.

Sewaktu membaca al-Quran, kita hendaklah dalam keadaan duduk dan mengadap kiblat sekiranya membaca di luar waktu solat.  Membaca taawuz (doa) terlebih dahulu untuk meminta perlindungan-Nya daripada syaitan dan basmallah.

Diri kita bersih bukan sahaja daripada najis dan kekotoran tetapi juga hendaklah berwuduk dan menggunakan mashaf apabila membaca al-Quran.  Pakaian dalam keadaan yang bersih dengan memakai wangi-wangian.

Kita dilarang mengganggu orang yang sedang membaca al-Quran.  Mereka yang membaca al-Quran sedang melakukan ibadat kerana membaca kalam Allah SWT.  Justeru kita tidak boleh mengganggunya.

Apabila membaca al-Quran kita  hendaklah berniat ikhlas dan mengharapkan semata-mata rahmat daripada Allah SWT.  Seelok-eloknya, baca al-Quran terlebih dahulu sebelum kita membaca terjemahannya.

Lebih elok membaca ayat suci Allah SWT ini dengan tartil, jelas dan tidak terburu-buru.  Kita hendaklah khusyuk dan merenung makna di sebalik ayat supaya dapat memberi keinsafan dalam hati.

Kita juga digalakkan membaca al-Quran secara berjemaah dan diharuskan bersilih ganti dengan suara yang  kuat.  Sunat mengindahkan suara atau melagukan bacaan al-Quran.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!