Adab Memberi Salam

Sahsiah Nor Syariza Tahir 18-Jun-2019

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan adab sopan dan tatasusila sesama manusia.

Antara perkara asas dalam adab sopan dan tatasusila yang ditekankan kepentingannya, namun sering diabaikan oleh kita adalah memberi salam.

Memberi salam kebiasaannya dilakukan oleh seorang beragama Islam pada sesi bertemu dan berpisah.

Ia seharusnya dilakukan kepada setiap saudara seagama kita, dan bukannya terhad kepada orang yang kita kenali sahaja.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memberi salam asalnya adalah sunat yang sangat dituntut, manakala menjawabnya adalah wajib.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan, orang yang berjalan pula hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang tidak ramai hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai jumlahnya.”

Dalam riwayat Imam al-Bukhari pula disebutkan: “Dan orang yang muda kepada orang yang tua.” – HR al-Bukhari dan Muslim.

Memberi salam adalah satu bentuk inisiatif untuk menghidupkan sunah Rasulullah S.A.W.

Justeru, terdapat beberapa adab memberi salam yang perlu kita ikuti bagi menghidupkan kembali sunnah Rasulullah S.A.W.

 

Memberi salam mengikut keutamaan umur dan situasi

Ibn Battal mengatakan: “Disyariatkan orang muda mengucapkan salam kepada orang tua kerana kedudukan orang tua lebih mendahului dari sudut usia. Orang yang muda usianya diperintahkan agar menghormati dan tawaduk di hadapan orang lebih tua.”

Berjabat tangan ketika bertemu

Jika sesama Islam bertemu, amat digalakkan untuk mengucapkan salam dan berjabat tangan. Ini akan mengeratkan lagi hubungan mesra sesama saudara seagama.

 

Menjawab salam dengan lebih baik atau yang seumpama dengannya.

Adalah menjadi satu tuntutan agama bagi orang yang menerima salam, di mana mereka hendaklah menjawab dengan lebih baik daripada orang yang memberi salam kepadanya.

Firman Allah dalam Surah al-Nisa’, ayat 86 yang bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

 

Berusaha mengucapkan salam dengan lebih sempurna.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi: “Bahawasanya seseorang telah datang menemui nabi lalu mengucapkan assalamualaikum, nabi bersabda: untuknya 10 kebaikan. Kemudian yang lain datang dan mengucapkan assalamualaikum warahmatullah. Maka nabi bersabda: untuknya 20 kebaikan. Setelah itu datang seorang yang lain pula, lalu mengucapkan assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, nabi bersabda: untuknya 30 kebaikan.

Kesimpulannya, bukan sukar untuk kita mengumpul pahala dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Semudah-mudah amalan seperti memberi salam pun sudah dapat memberi kita ganjaran yang berlipat kali ganda beserta hikmah merapatkan silaturahim sesama Islam.

Bukan sukar untuk melakukannya, bukan? Jadi, ringan-ringankanlah mulut kita untuk memberi salam setiap kali bertemu dan berpisah dengan rakan-rakan seagama kita.

Foto: Kristin De Soto, Rawpixel.com & Pixabay (Pexels)