Adab menghadiri kenduri-kendara

Budaya Abi Aasim 07-Ogo-2020
Pergi ke majlis kenduri? © Nuralya | Dreamstime.com

Sejak  majlis kenduri dibenarkan semula, ramai yang ambil peluang untuk melaksanakan kenduri-kendara. Walaubagaimanapun jangan lupa ada peraturan dan garis panduan budaya yang harus dipatuhi dan diikuti.

Sudah pasti yang mendapat jemputan gembira menerima undangan daripada tuan rumah. Bukan sahaja dapat bertemu saudara mara mahupun sahabat handai yang telah lama tidak bersua malah hubungan silaturrahim dapat terjalin lebih erat.

Namun, dalam rasa keterujaan jangan dilupa adab-adab yang perlu diamalkan ketika menghadiri majlis kenduri-kendara tersebut. Bukan sekadar garis panduan yang ditetapkan kerajaan harus dipatuhi, namun adab-adab dan tatasulia menghadiri majlis kenduri juga haruslah diambil tahu.

Berjumpa tuan rumah

Apabila sampai sahaja di majlis kenduri, bertemulah dahulu dengan tuan rumah. Maniskan muka dengan senyuman ikhlas dan berikan huluran salam. Berikanlah ucapan yang bersesuaian dengan mengikut jemputan kenduri yang diterima. Jika hadir ke kenduri majlis perkahwinan, berikanlah ucapan tahniah kepada tuan rumah kerana menerima menantu.

Pakai pakaian yang bersesuaian

Pakaian yang bersesuaian dengan majlis sangat penting ketika menghadiri majlis kenduri. Ini kerana, pakaian yang seeloknya melambangkan tanda kita sebagai jemputan menghormati majlis kenduri tersebut. Terutamanya bagi wanita, pastikan anda mengenakan pakaian yang tidak menjolok mata dan boleh mengundang fitnah. Sebagai seorang Muslim, sentiasalah pakai pakaian yang menutup aurat dan mengikut panduan yang digariskan oleh syarak.

Jaga percakapan

Pepatah melayu mengatakan, ‘Kerana mulut badan binasa’. Tujuan utama hadir ke majlis kenduri sebagai memenuhi undangan yang diterima. Jaga percakapan dengan berkata yang baik-baik tanpa mengeluarkan sebarang umpatan ataupun sebagainya. Jika melihat mailis yang diadakan hanyalah secara kecil-kecilan, jangan pula dibuat perbandingan dengan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan tuan rumah.

Jangan membazir

Elakkan daripada melakukan pembaziran ketika mengambil juadah yang telah dihidangkan. Ambil makanan yang hendak dimakan dengan kuantiti yang diperlukan sahaja. Walaupun tuan rumah menghidangkan pelbagai jenis juadah yang sedap-sedap, ambil makanan sekadar perlu sahaja. Kalau hendak rasa semua juadah, ambil setiap juadah dalam kuantiti yang sedikit sekadar untuk merasa sahaja.

Ucapan terima kasih

Sebelum pulang, ringankanlah mulut untuk mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah kerana menjemput anda ke majlis mereka. Tuan rumah sangat berbesar hati menerima kehadiran kita yang telah sudi memenuhi jemputan mereka.

‘Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa’. Hargailah jemputan ke majlis kenduri. Eratkan silaturahim sesama insan. Sentiasa hadir ke jemputan jika ada kemampuan dan kelapangan.