Adab Menziarahi Orang Sakit

Sahsiah Nor Syariza Tahir 26-Jul-2019

Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, kita mempunyai pelbagai tanggungjawab sesama insan yang perlu dilaksanakan.

Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan hubungan silaturahim sesama manusia selain menetapkan hak-hak setiap orang yang perlu dilaksanakan, terutamanya sesama saudara seagama.

Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah S.A.W.? Rasulullah berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. Apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” – HR Muslim (2162).

Salah satu hak yang diperkatakan oleh Baginda yang ingin ditekankan kali ini adalah menziarahi orang sakit.

Apabila ada daripada kenalan atau saudara terdekat yang sakit, kita digalakkan untuk menziarahi mereka sebagai tanda mengambil berat dan kasih sayang sesama manusia.

Namun, dalam pada kita menziarahi pesakit tersebut, adakah kita mengikuti adab-adab yang sepatutnya diamalkan?

Perkara ini amat penting bagi mengelakkan si pesakit berasa tidak selesa dengan kehadiran kita atau lebih malang jika ia membawa kepada akibat yang buruk.

Para ulama telah menggariskan beberapa adab untuk diikuti apabila kita menziarahi orang sakit.

Berikut kami senaraikan adab-adab tersebut seperti yang dipetik daripada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai panduan para pembaca.

1. Memilih waktu yang sesuai untuk melakukan ziarah.

Pemilihan waktu yang sesuai untuk menziarahi orang sakit amat penting bagi mengelakkan kita hadir pada waktu-waktu yang berkemungkinan pesakit sedang berehat atau membersihkan diri. Disebabkan itulah, hospital-hospital kerajaan ada menetapkan tempoh-tempoh masa tertentu untuk pelawat menziarahi orang sakit. Ini juga penting bagi memberi ruang untuk pesakit berehat.

 

2. Tidak mengambil tempoh masa yang lama ketika ziarah.

Sedangkan menziarahi orang yang sihat di rumahnya pun ada tempoh masa yang perlu kita patuhi untuk mengelakkan kehadiran kita mengganggu urusan tuan rumah. Apatah lagi menziarahi pesakit yang tidak sihat dan tidak berupaya untuk berbual lebih lama dengan kita. Seorang pegawai perubatan di hospital menasihatkan agar tempoh lawatan kita itu seeloknya dihadkan dalam tempoh 15 minit dan tidak melebihi 30 minit. Ia adalah supaya pesakit dapat berehat lebih lama, sekali gus tidak memburukkan lagi keadaan kesihatan mereka.

 

3. Menundukkan pandangan daripada perkara-perkara yang diharamkan.

Apabila kita menziarahi pesakit, sama ada di rumahnya atau di hospital, kebiasannya pesakit berada dalam keadaan yang tidak terurus hingga memungkinkan auratnya terlihat. Justeru, kita hendaklah sentiasa menundukkan pandangan agar mata kita tidak meliar dan terlihat perkara-perkara yang diharamkan atau boleh membuka aib pesakit.

4. Tidak banyak bertanya atau bercakap.

Perkara asas yang sering kita terlepas pandang adalah percakapan dengan pesakit. Sebagai pesakit, sudah tentu mereka tidak mempunyai kudrat yang kuat untuk beramah-mesra dengan kita. Jadi, sebagai individu yang sihat, kita hendaklah bertimbang rasa dan tidak banyak bertanya soalan kepada pesakit agar dia tidak perlu bercakap dengan banyak.

 

5. Menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan terhadap orang yang sakit.

Selain bekalan ubat-ubatan dan rawatan, seorang pesakit juga amat memerlukan semangat dan kata-kata motivasi daripada orang di sekelilingnya. Maka, apabila kita menziarahi pesakit, kita hendaklah menunjukkan keprihatinan kepada mereka dengan menzahirkan kata-kata positif agar ia dapat membantu memberi semangat kepada mereka.

 

6. Sentiasa mendoakan yang baik-baik kepada pesakit.

Doakanlah pesakit agar Allah memberi kesembuhan segera kepadanya dan meringankan bebanan sakitnya. Kita tidak tahu doa siapa yang dimakbulkan Allah, bukan?

Daripada Ummu Salamah R.A, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” – HR Muslim (919).

Kesimpulannya, sakit itu ujian daripada Allah S.W.T. Bagi si pesakit, sekurang-kurangnya dengan kehadiran rakan taulan dan saudara mara, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan penderitaan sakitnya melalui kata-kata semangat dan doa-doa yang dititipkan oleh orang di sekelilingnya.

Oleh itu, sebagai individu yang sihat dan boleh berfikir dengan lebih rasional, kita seharusnya menjaga adab-adab ketika berhadapan dengan pesakit bagi membantunya kembali sihat seperti sediakala.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Sharon McCutcheon (Unsplash) & Rawpixel.com (Pexels)

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Daripada Ummu Salamah R.anha, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” – HR Muslim (919).