Adab orang ketika berjalan menurut Rasulullah SAW

Sahsiah Hagnas 08-Sep-2020
dreamstime_s_157370389
Adab berjalan © Klanarong Chitmung | Dreamstime.com

Untuk memenuhi keperluan kehidupan, kita mungkin terpaksa keluar hampir setiap hari. Islam merupakan agama yang syumul, maka Islam juga mempunyai tatacara ketika keluar rumah dan berjalan di luar atau berada di jalanan.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan.

Sahabat bertanya, apa itu hak jalan hai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.” (Hadis riwayat al-Bukhari, 5790 dan Muslim, 2121)

Terdapat beberapa perkara yang amat penting yang ditekankan dalam hadis ini, antaranya:

Melepak di jalanan

Selalu kita perhatikan pelbagai jenis manusia suka melepak di jalanan. Ada juga orang yang membina kedai di lorong laluan pejalan kaki. Nabi Muhammad SAW melarang kita daripada melepak di jalanan dan berbuat sesuatu yang boleh menghalang jalan.

Menundukkan pandangan

Bila kamu berjalan, tundukkanlah pandangan. Lelaki terutamanya mudah terlibat dengan fitnah mata, yang boleh membawa kepada jenayah seksual yang lebih besar. Inilah sebabnya mengapa di dalam al Quran, Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah an-Nur 24, ayat 30)

Jangan menimbulkan masalah

Jangan merokok, membuat kerosakan atau contohnya kencing di atas jalan hingga mendatangkan masalah kepada orang lain. Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.” (Surah al-Ahzab 33, ayat 58)

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, ”Takutlah pada dua hal yang dapat mendatangkan laknat.” Kemudian, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, ”Apakah kedua hal yang dapat mendatangkan laknat itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, ”Orang yang membuang air di jalanan umum atau di tempat orang-orang berteduh.” (HR Muslim)

Menjawab salam

Abu Umamah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW yang mulia bersabda: “Orang yang paling dekat dengan Allah adalah orang yang pertama memberi salam.” (Sunan Abu Dawud, hadis no. 5197). Berdasarkan hadis ini, alangkah bagusnya orang yang memberi salam kepada orang ramai sewaktu berjalan di jalan raya. Jika seseorang memberi salam kepada kamu, maka kamu wajib menjawab salam tersebut.

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (Surah an-Nisaa’ 4, ayat 87)

Menyeru manusia kepada kebaikan

Menyeru kepada kebaikan merupakan tanggung jawab setiap Muslim. Mereka boleh menyeru kepada kebaikan sewaktu berjalan-jalan di pasar atau sebagainya. Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-i Imraan 3, ayat 104)

Mencegah kemungkaran

Orang beriman mestilah mencegah kemungkaran. Allah SWT berfirman di 6 tempat dalam surah al-i Imran, ayat 110: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”