Adakah adab ketika berbeza pandangan?

Islam untuk Pemula Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan
Adakah adab ketika berbeza pandangan?
Adakah adab ketika berbeza pandangan? © Tramontina1 | Dreamstime.com

Artikel ini berkisarkan tentang bagaimana berlakunya perbezaan pandangan dan adab yang perlu kita amalkan sekiranya berlaku percanggahan pendapat.

Islam telah mengajar kita di dalam Al-Quran dan Sunnah bagaimana untuk kita mengamalkan akhlak-akhlak Islamiyah tidak kira dalam apa jua aspek.

Adab ketika berbeza pandangan

Akhlak-akhlak seperti ini mesti diberi penekanan supaya tidak berlakunya salah faham atau kecelaruan di kalangan masyarakat khususnya. Perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan berlaku kerana tahap pengetahuan, pemikiran dan karakter manusia itu sendiri dijadikan berbeza.

Punca-punca berlakunya berbeza pandangan

  • Perbezaan dari segi tahap keilmuan
  • Kearifan terhadap keluasan dan kesempitan ilmu
  • Persekitaran yang berbeza
  • Pengetahuan yang terhad
  • Tahap ketidakpuasan hati
  • Perbezaan dalam membuat sesuatu penilaian
  • Menerima berita dari sumber yang palsu atau tidak benar
  • Diri teraniaya dengan keadaan yang tidak jelas
  • Buruk sangka
  • Dahagakan publisiti dan perhatian
  • Tinggi ego dan terlalu mengikut hawa nafsu
  • Perbezaan fahaman atau konflik
  • Terlalu obses dan taksub

Adab yang perlu diamalkan jika berlaku berbeza pandangan

Antara adab yang perlu dipraktikkan adalah dengan mengurangkan tahap ketaksuban terhadap seseorang  individu atau sesebuah pendapat. Selain itu, kita mesti membuat penilaian atau menyelidiki dahulu sesuatu yang boleh menimbulkan kesalahfahaman di kalangan kita.

Kita juga perlu lebih bersifat terbuka dan berlapang dada dalam menerima sesuatu yang bercanggahan dengan kefahaman dan kecetekan pengetahuan kita.

Perbezaan pendapat sering berlaku kerana lumrah dan pengetahuan manusia sangatlah terhad. Sebelum membuat keputusan, nilai dan tabayyun terlebih dahulu sesuatu perkara itu. Ini supaya dapat mengelakkan berlakunya perpecahan, perbalahan, salah faham dan permusuhan dalam masyarakat kita.

Dalam membuat sesuatu keputusan, kita tidak boleh memaksa individu lain untuk menerima sebarang pentaksiran. Kita juga tidak boleh menentang secara total apa yang kita rasakan berbeza dari segi fahaman dan penilaian. Keputusan yang dicapai secara sepakat akan membuahkan hasil dan persefahaman yang sangat positif.

Segala perselisihan pendapat hendaklah diselesaikan dengan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jika kamu berselisih pada sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat…”

(Quran surah An-Nisa’, ayat 59)

Imam Syafie berkata:

“Aku tidak bermuzakarah dengan seseorang kecuali aku akan berdoa, Ya Allah alirkanlah kebenaran pada hati dan lisannya. Jika kebenaran itu padaku, dia sanggup mengikutiku. Jika kebenaran itu padanya, aku mengikutinya.”

Perselisihan zaman Saidina Abu Bakar r.a

Di zaman Saidina Abu Bakar r.a pun pernah berlaku perselisihan faham. Masalah selisih faham ini adalah mengenai isu pengumpulan mushaf Al-Quran.

Perbezaan pandangan itu berlaku apabila mereka tidak tahu untuk memutuskan sama ada Al-Quran hendak dikumpulkan dalam satu mushaf atau pun tidak. Dan akhirnya, semua orang Islam bersepakat untuk bersetuju dengan keputusan dan pandangan Saidina Abu Bakar r.a.

Secara tuntasnya, keputusan dan pengurusan isu perbezaan pandangan ini dapat diselesaikan dengan baik sekiranya berpaksikan Al-Quran dan Sunnah, selain daripada tidak mencari kesalahan dan kelemahan mana-mana pihak.

Keputusan hendaklah adil dan jelas dikedua-dua pihak. Keputusan hendaklah dibuat dengan waras dan tidak terlalu mengikut emosi supaya dapat menjaga hati dan hubungan silaturrahim.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.