Adakah Allah SWT akan ampuni kita?

Kehidupan Hanita Hassan 05-Nov-2020
dreamstime_s_181411524
Adakah Allah SWT akan ampuni kita? © Nuttawut Uttamaharad | Dreamstime.com

‘Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’. Ayat permulaan bagi setiap surah ini berfungsi sebagai peringatan kepada kita yang membaca Al-Quran bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Adakalanya kita memerlukan peringatan terutama ketika bersedih, bersalah, atau menyesal atas tindakan dan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Allah SWT amat menyayangi dan sedia mengampunkan hamba-Nya.

Rahmat Allah SWT sangat luas, ujian mengikut tahap iman

Tidak kira berapa besar dosa  atau  berapa sering ia diulangi, rahmat Allah SWT sangat luas. Dia ingin kita tahu bahawa melalui-Nya segalanya mampu berlaku apatah lagi jika kita sentiasa meminta bantuan dan pengampunan daripada-Nya.

Dalam hidup ini, kita sering berdepan dengan pelbagai dugaan dan sekiranya Allah SWT ingin menyucikan daripada dosa-dosa, Dia akan menurunkan ujian. Setiap ujian atau cabaran adalah mengikut tahap keimanan seseorang kerana Allah amat mengasihi hamba-hamba-Nya.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan  itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya).”

(Surah al-i Imran, ayat 135)

Usaha yang terbaik, jangan putus asa cari rahmat Allah SWT

Apabila hati  berasa berat dan fikiran mulai gelisah, kembalilah kepada Allah SWT kerana rahmat-Nya tiada batasan. Tidak kira apa yang anda hadapi, Dia akan sentiasa ada.

“Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.”

(Surah Huud, ayat 61)

Seorang Muslim yang baik adalah seorang yang tidak pernah berhenti berusaha  menjadi lebih baik dan sentiasa berusaha yang terbaik untuk menjadi hamba Allah SWT yang taat, bertaubat dan  tidak pernah berputus asa mencari rahmat Allah.

Waktu di mana anda berhenti memohon rahmat Allah SWT adalah waktu anda telah tewas kepada pujukan syaitan.

“Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah, melainkan kaum yang kafir.”

(Surah Yusuf, ayat 87)