Adakah amalan Demokrasi sejajar dengan nilai agama Islam?

Pendidikan Md Wa'iz
Md Wa'iz
Adakah amalan Demokrasi sejajar dengan nilai agama Islam?
Adakah amalan Demokrasi sejajar dengan nilai agama Islam? © Thanipat | Dreamstime.com

Amalan demokrasi telah lama menjadi sebahagian daripada kaedah pentadbiran di kebanyakan negara di dunia. Ini termasuklah negara Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang mencontohi kaedah parlimen United Kingdom.

Namun, adakah amalan demokrasi ini mengikuti cara seperti yang diajarkan oleh Islam?

Maksud amalan demokrasi dalam pentadbiran negara

Demokrasi boleh diertikan sebagai satu sistem pemerintahan yang melibatkan keseluruhan penduduk atau semua warganegara yang layak. Setiap warganegara bertanggungjawab memilih wakil yang dirasakan layak untuk mewakili mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam pentadbiran negara.

Di Malaysia, setiap rakyat akan memilih dua orang wakil rakyat mereka ketika pilihan raya diadakan. Seorang wakil akan dipilih untuk menduduki kerusi di Dewan Undangan Negeri, manakala seorang lagi wakil akan menduduki kerusi di Dewan Rakyat.

Dewan Undangan Negeri berfungsi sebagai badan perundangan yang menggubal undang-undang di perigkat negeri. Manakala Dewan Rakyat berfungsi menggubal undang-undang di peringkat persekutuan atau negara.

Ramai daripada anggota masyarakat yang menolak demokrasi dengan alasan mahukan pentadbiran Islam semata–mata. Namun, sekiranya kita memahami dengan baik berkenaan elemen-elemen yang terdapat dalam amalan demokrasi, terdapat persamaan dengan apa yang telah diajarkan oleh Islam.

Adakah amalan demokrasi ini sejajar dengan ajaran Islam?

Dalam Islam, elemen-elemen seperti syura (perbincangan), ‘adalah (keadilan), hurriyyah (keebasan), mas’uliyyah (tanggungjawab) amatlah ditekankan dan ia sememangnya wujud dalam pelaksanaan demokrasi.

Sebagai contoh, elemen syura atau perbincangan merupakan antara elemen yang sangat penting dalam Islam ketika ingin membuat sebarang keputusan. Dalam sistem atau amalan demokrasi berparlimen, elemen ini wujud apabila wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri akan berbahas sebelum meluluskan sesuatu perkara.

Begitu juga dengan eleman hurriyyah atau kebebasan dalam Islam. Islam menjamin hak setiap manusia untuk menyuarakan pandangan mereka dalam kerangka menegakkan perkara yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar. Islam juga memberikan kebebasan kepada setiap warganegara untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat mereka sendiri.

Sifat mas’uliyyah atau tanggungjawab juga merupakan elemen terpenting yang diajar dalam ajaran Islam. Tanggungjawab ini tidak hanya tertakluk kepada pemimpin sahaja, tetapi juga melibatkan warganegara. Setiap orang Islam bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang adil dan saksama untuk kesejahteraan hidup manusia.

Pemimpin pula bertanggungjawab menunaikan amanah yang telah diberikan kepadanya sebagai seorang wakil rakyat. Selain itu, pemimpin juga perlu bertindak dan melaksanakan amanahnya dengan cara yang adil.

Amalan demokrasi sejajar dengan nilai Islam

Dalam Islam, setiap manusia mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Ia bukan hanya dipikul oleh pemimpin, tetapi juga orang awam. Orang awam bertanggungjawab menentukan pemilihan pemimpin seperti yang disarankan oleh ajaran Islam.

Ketiga-tiga elemen yang dinyatakan ini adalah antara contoh bagaimana amalan demokrasi itu sejajar dengan nilai-nilai Islam. Walaupun demokrasi ini merupakan sebuah ideologi atau kaedah, ia bukanlah satu perkara yang dilarang selagi mana ia sesuai dan menepati kehendak syariat Islam.

Jelas sekali bahawa amalan demokrasi itu menepati nilai-nilai yang telah ditekankan dalam Islam. Oleh itu, umat Islam perlu memainkan peranan mereka sebagai umat yang bertanggungjawab dalam sistem demokrasi yang diamalkan.