Adakah benar Cili baik untuk kesihatan?

Makanan Sihat Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Adakah benar Cili baik untuk kesihatan?
Adakah benar Cili baik untuk kesihatan? © Phive2015 | Dreamstime.com

Cili adalah bahan utama yang digunakan dalam kebanyakan masakan orang Asia khususnya di negara kita.  Di Malaysia, antara sayuran yang paling tinggi diimport masuk adalah cili.

Ia kaya dengan vitamin A, B dan C kompleks serta komposisi vitamin lain seperti protein, karbohidrat serta karotin.

Adakah benar Cili baik untuk kesihatan?

Sejak berabad lampau, cili dijadikan makanan diet bagi masyarakat Amerika kerana ia membakar kalori dengan lebih pantas. Dikenali dengan nama saintifik sebagai Capsicum spp, cili adalah sejenis sayuran berbuah daripada keluarga Solanaceae.  Ia dikatakan berasal dari negara Mexico dan Amerika Selatan. 

Cili ditanam secara meluas di seluruh dunia khusus di kawasan beriklim tropika.  Di Malaysia, cili kebanyakannya ditanam di kawasan tanah rendah.  Pelbagai spesis dan varieti cili memberi kepedasan kepada si pemakan.  Lagi tinggi kandungan Capsaicin, lagi pedas rasa cili.

Dipercayai kandungan Capsaicin berfungsi sebagai agen pelindung melawan penyakit ulser peptic serta agen penghalang kepada kimia-kimia carcinogens yang menyebabkan penyakit barah.

Dari segi bentuknya, ia adalah tanaman yang tumbuh menegak, berakar tunjang, batangnya bercabang berwarna hijau (buku batang berwarna hijau atau ungu bergantung kepada kultivar cili).  Bunga cili berkelopak lima berwarna putih tumbuh keluar dari ketiak dan daun berbentuk loket.  Buah pula berbentuk tirus memanjang.

Mungkin ramai yang masih kurang arif tentang kelebihan cili.  Meskipun cili sering menjadi bahan utama dalam masakan, namun kita jarang mengambil tahu khasiatnya.

Khasiat Cili yang tidak diketahui ramai

Bagi anda yang mengidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan obesiti, cili sebenarnya baik dan memberi kesan positif kepada badan.  Makan cili boleh membantu mengawal tahap insulin sehingga 60%.  Ia disahkan melalui penyelidikan yang dilakukan di Universiti Tasmania. (Journal of Clinical Nutrition, 2006).

Selain itu, cili juga boleh meningkatkan kesihatan jantung dan mencegah strok.  Ia membantu meningkatkan edaran darah dan melindungi daripada terkena strok.  Pengambilan cili juga membantu otak melepaskan endorfin iaitu hormon yang bertindak balas untuk menghilangkan rasa sakit yang dialami tubuh.

Teori mengenai capsaicin boleh digunakan untuk mensasarkan reseptor rasa sakit tanpa memberi kesan kepada sel saraf atau kesan sampingan telah dilakukan oleh para penyelidik dari Universiti Harvard.

Kandungan neuropeptide di dalam cili membantu menghilangkan rasa sakit dan keradangan khusus kepada pesakit rheumatoid dan arthritis.  Selepas ini anda boleh menggunakan alternatif menggantikan ubat tahan sakit dengan cara memakan cili.

Makan hidangan bercili sedikit demi sedikit

Begitu juga dengan pesakit gastrik atau sakit di dalam perut.  Mungkin anda pelik.  Ramai yang menyangka apabila mengidap sakit gastrik atau sakit dalam perut, tidak elok untuk memakan makanan pedas.

Mulai hari ini, cubalah makan makanan bercili tetapi sedikit demi sedikit.  Anda akan dapati kemujarabannya.  Insya-Allah. Kenapakah begitu?  Pelik tetapi ia adalah benar.

Bagaimana benda yang sangat pedas tetapi kita boleh makan dan menyembuhkan banyak penyakit dalam masa yang sama.  Ia sebenarnya adalah kerana endorfin yang dikeluarkan oleh otak akan memberi rasa nikmat apabila dimakan, membuatkan kita berasa seolah-olah ketagih untuk makannya walaupun pedas.

Terdapat begitu banyak menu berasaskan cili yang boleh dicuba.  Daging sambal pedas, ayam panggang sambal hijau, bawal goreng sambal, ayam masak sambal, ikan cili padi dan banyak lagi.  Semoga bermanfaat.