Adakah diam seorang wanita tanda setuju?

Wanita Aimy Azhary
Pendapat oleh Aimy Azhary
Adakah diam seorang wanita tanda setuju?
Adakah diam seorang wanita tanda setuju? © Odua | Dreamstime.com

Wanita merupakan golongan yang mempunyai martabat yang tinggi di sisi Islam, sehinggakan terdapat satu surah bernama An-Nisa’ yang bermaksud ‘Perempuan’ atau ‘Wanita’.

Allah SWT memfitrahkan wanita dengan kelembutan dan keayuan, serta karakter diam yang sinonim dengan sifat malu. Namun, adakah diam seorang wanita itu hanya menunjukkan tanda setuju?

Hadis tentang diam seorang perempuan

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Tidak dinikahi seorang anak dara melainkan selepas diminta izin. Para sahabat bertanya: Bagaimanakah izinnya? Baginda bersabda: Dengan dia berdiam.”

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawasanya harus menjadikan diam sebagai tanda persetujuan. Ini merupakan antara syariat yang menghormati dan meraikan hasrat seorang wanita yang dikenali dengan sifat malu.

Walaupun begitu, ia terhad dalam konteks pernikahan, sesuai dengan kaedah pengkhususan yang diambil daripada hadis tersebut. Ia tidak boleh diluaskan lebih daripada itu seperti dalam konteks kehakiman, muamalat dan sebagainya.

Diam dalam konteks kehakiman

Antara hadis yang cukup penting serta menjadi kaedah utama dalam sistem kehakiman Islam ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.”

Sebahagian para ulama Syafi’iyah meletakkan had dalam kaedah ini dengan menafsirkan orang yang mendakwa adalah seseorang yang apabila dia diam maka dia dibiarkan.

Manakala orang yang didakwa adalah seseorang yang tidak dibiarkan apabila dia diam bahkan dia dituntut untuk menjawab (dakwaan ke atas dirinya). Oleh itu, hakim perlu mempunyai akal yang tajam dalam menilai sesuatu kes terutama apabila melibatkan dakwaan yang pelbagai antara satu sama lain.

Diam dalam konteks muamalat

Antara rukun dalam sesuatu muamalat adalah ijab dan qabul, iaitu lafaz yang menunjukkan keredaan pihak yang terlibat kepada tawaran dan penerimaan akad tersebut. Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan hukum diam ketika menjalani sesuatu akad.

Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i ialah tidak sah akad yang hanya diam dan tidak menyatakan lafaz ijab qabul. Antara hujah yang digunakan ialah keredaan merupakan perkara yang tersembunyi dalam hati, dan kita tidak boleh meletakkan hukum pada perkara yang tidak jelas.

Adapun jumhur ulama mengatakan ianya harus kerana tidak wujud nas yang jelas menunjukkan kewajipan melafazkan ijab qabul. Walaupun begitu, sebahagian ulama mengehadkan kepada muamalat-muamalat yang ringkas sahaja.

Contohnya seperti akad jual beli barang keperluan seharian, dan tidak terpakai kepada akad-akad besar seperti pembelian kereta, rumah dan sebagainya. Pendapat ini lebih meraikan suasana setempat di Malaysia, dan lebih memudahkan urusan-urusan masyarakat seharian.

Kesimpulannya, diam seorang perempuan tidak boleh diseratakan dalam semua situasi dan perlu diteliti dengan adil dan saksama. Kelalaian melaksanakannya mengikut panduan syariat boleh mewujudkan perbalahan dan penindasan terutama kepada golongan yang lemah.