Adakah Islam membenarkan jual beli kucing? Apakah hukumnya?

Ekonomi Md Wa'iz
Md Wa'iz
Adakah Islam membenarkan jual beli kucing? Apakah hukumnya?
Adakah Islam membenarkan jual beli kucing? Apakah hukumnya? © Golib Tolibov | Dreamstime.com

Ramai daripada kita yang membela kucing di rumah sebagai peneman dan juga hiburan. Ada kucing yang dikutip di tepi jalan dan ada juga yang membelinya.

Namun, adakah anda tahu hukum jual beli kucing yang sebenar?

Apakah hukum jual beli kucing di sisi Islam?

Soalan berkenaan hukum jual beli kucing ini pernah ditanyakan kepada Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini. Menurut penerangan daripada portal Mufti Wilayah Persekutuan, hukum jual beli kucing ini mempunyai khilaf atau perbezaan beberapa pendapat.

Pendapat ulama yang pertama menyatakan bahawa ia adalah haram secara mutlak. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zubair r.a. Maksud hadis tersebut ialah seperti berikut:

“Aku (Abu Zubair) pernah bertanya kepada Jabir mengenai jual beli anjing dan juga kucing. Jabir berkata bahawa Rasulullah SAW melarang perbuatan tersebut.”

Pendapat ulama yang kedua pula menyatakan bahawa hukum jual beli kucing adalah dibolehkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat jumhur atau majoriti ulama termasuklah ulama mazhab Syafie.

Imam Nawawi ada menyatakan dalam kitabnya, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, yang bermaksud:

“Jumhur ulama mengatakan boleh dan kebolehan ini juga pada menjualnya (kucing) dan ini adalah pendapat daripada Ibn ‘Abbas, Ibn Sirin, Hamad, Malik, al-Thauri, al-Syafi’e, Ahmad, Ishak, Abu Hanifah dan ashab al-Ra’yi…”

Namun, jual beli kucing itu mestilah kucing yang memberikan manfaat seperti untuk menangkap tikus atau sebagai hiburan dan peneman. Jika kucing tersebut tidak membawa sebarang faedah kepada manusia seperti kucing hutan, maka tidak sah jual beli kucing seperti ini.

Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa beliau lebih cenderung kepada hukum makruh bagi jual beli kucing ini berdasarkan larangan dalam nas.

Hukum jual beli kucing ini juga terpakai kepada binatang-binatang lain

Hukum jual beli haiwan ini sebenarnya terpakai kepada semua haiwan-haiwan lain. Sekiranya haiwan tersebut memberikan manfaat dan faedah kepada manusia, maka ia dibolehkan. Antaranya ialah seperti jual beli lebah untuk mendapatkan madu, anjing untuk tujuan menjaga ladang dan lain-lain lagi.

Namun, bagi haiwan yang tidak mendatangkan manfaat kepada manusia, maka jual beli tersebut adalah dilarang. Antara contohnya ialah seperti kucing hutan, ular, tikus, semut dan kumbang.

Lebih baik kutip kucing jalanan untuk dipelihara

Daripada kita mengeluarkan wang sehingga beribu-ribu untuk membeli kucing yang mahal, adalah lebih baik kita memelihara kucing jalanan sahaja. Sekurang-kurangnya nasib kucing jalanan lebih terjaga dan tidak berlaku pembaziran wang dengan tujuan hanya untuk membeli kucing.

Wang untuk membeli kucing itu boleh digunakan untuk tujuan dan keperluan yang lebih penting.