Adakah Jepun satu destinasi pelancongan mesra Muslim? 

Melancong 10 Feb 2021 Md Wa'iz
Pilihan
Adakah Jepun satu destinasi pelancongan mesra Muslim? 
Adakah Jepun satu destinasi pelancongan mesra Muslim?  © Attila Jandi | Dreamstime.com

Setiap kali kita ingin melancong ke luar negara, pastinya perkara-perkara yang berkaitan dengan syariat Islam akan diutamakan. Sebagai contoh, ketersediaan makanan halal dan tempat solat.

Namun, tahukah anda, negara Jepun lebih terkehadapan dan bersedia dengan sektor pelancongan mesra Muslim?

Pelancongan mesra Muslim Jepun: makanan halal

Apabila kita berkunjung kemana-mana lokasi pelancongan, pastinya makanan dan minuman menjadi antara tarikan utama. Merasai makanan dan minuman daripada budaya lain membuatkan kita lebih mengenali sesuatu budaya tersebut.

Begitu juga apabila kita melancong ke Jepun, pastinya kita ingin makan makanan seperti Sushi, Onigiri, Mi Soba dan pelbagai makanan lain. Sebagai seorang Muslim, pastinya makanan dan minuman yang halal menjadi kemestian.

Di Jepun, anda tidak perlu risau untuk mencari makanan halal. Kedai-kedai atau restoran yang menjual makanan halal semakin berkembang di sana.

Kebanyakan restoran mesra Muslim juga boleh dijumpai di lapangan terbang dan juga hotel-hotel utama. Namun, anda dinasihatkan untuk membuat tempahan terlebih dahulu kerana pihak hotel perlu melakukan persediaan bagi menyediakan makanan halal.

Selain itu, terdapat juga restoran halal yang diusahakan oleh imigran Muslim seperti dari Mesir, India, Pakistan, Indonesia bahkan Malaysia. Jadi, anda tidak perlu risau mengenai makanan halal apabila ke Jepun.

Pelancongan mesra Muslim: hotel dan tempat penginapan

Bagi yang mencari kemudahan tempat penginapan atau hotel pelancongan mesra Muslim, terdapat juga banyak hotel yang tersedia dengan kemudahan yang diinginkan anda.

Sebagai contoh, ada beberapa hotel di Tokyo yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka menyediakan makanan halal dan juga bilik sembahyang bagi tetamu Muslim. Ada juga jenis hotel apartmen yang menyediakan kemudahan dapur dengan perkakas untuk kegunaan orang Islam sahaja.

Jika anda mahu menikmati suasana mendiami Ryokan iaitu bilik tradisional Jepun dengan tilam tatami, anda juga boleh menikmatinya. Ini kerana, ada juga penyedia Ryokan yang menyediakan bilik mesra Muslim beserta ruang untuk bersolat.

Mudahkah mencari bilik sembahyang atau surau di Jepun?

Mencari kemudahan untuk bersolat juga bukanlah satu perkara yang sukar. Saat anda menjejaki lapangan terbang di Jepun, sememangnya ruang solat ada disediakan di lapangan terbang di sana. Malah, ada sesetengahnya sangat besar dan selesa.

Sebagai contoh, ruang sembahyang yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda mempunyai ruangan solat dengan kapasiti sebanyak 11 hingga 20 orang jemaah. Tempat untuk berwuduk juga sangat selesa.

Jika anda menginap di hotel, ada hotel yang menyediakan tanda arah kiblat dalam bilik penginapan mereka. Bertanyalah di kaunter hotel sekiranya mereka ada menyediakan bilik hotel yang mempunyai tanda arah kiblat atau ruang solat khusus.

Selain itu juga, di sekitar bandar-bandar besar, terdapat masjid yang boleh dilawati untuk menunaikan solat. Masjid-masjid ini bukan hanya terdapat di Tokyo sahaja, malah ada juga di bandar-bandar lain.

Walaupun Jepun bukanlah sebuah negara Islam, hospitaliti mereka terhadap pelancongan mesra Muslim sangat mengejutkan. Walaupun penduduk Muslim di Jepun sangat sedikit, tetapi keharmonian dan keamanan hidup bersama itu sangat tinggi.

Kestabilan yang dimiliki Jepun serta kesediaan mereka memenuhi kehendak pelancong Muslim agak sukar untuk ditemui di negara-negara lain.