Adakah kita ‘Muslim-friendly’ atau mesra Muslim?

Masyarakat Tari Basir
Pilihan oleh Tari Basir
Adakah kita 'Muslim-friendly' atau mesra Muslim?
Adakah kita 'Muslim-friendly' atau mesra Muslim? © Odua | Dreamstime.com

Mutakhir ini, istilah ini sering diguna pakai dalam penciptaan produk kehidupan umat Islam bersama ‘Syariah Compliance’ atau pematuhan syariah. Kewujudan kedua-duanya merupakan inovasi umat Islam untuk memisahkan unsur-unsur batil daripada produk-produk yang dicipta oleh Barat.

Tidak dinafikan, Barat sememangnya ke hadapan dalam mencipta produk-produk yang mampu membantu manusia atau memberi kesenangan terhadap mereka. Namun, Barat tidak memfokuskan untuk menghasilkan produk-produk yang patuh Syariah (Syariah-compliant) kerana ia bukanlah syiar agama mereka.

Bahkan, tidak keterlaluan jika diandaikan ketidak fokusan itu adalah disengajakan. Kerana mahu membuatkan umat Islam leka daripada membeli produk-produk yang tidak patuh syariah.

Apa sebenarnya ‘Muslim-friendly’ dan ‘Syariah Compliance’?

Sebagai contoh, aplikasi Netflix yang menghidangkan ribuan filem dan drama yang sangat menarik, dengan yuran bulanan yang murah. Ribuan filem dan drama tersebut boleh ditonton dalam definisi tinggi (HD) – dengan harga yang murah.

Para penonton mungkin tidak perlu lagi bergantung kepada siaran televisyen normal yang kadangkala memutarkan filem dan drama yang sama. Namun, ribuan filem dan drama tersebut tidak ditapis. Adegan seks, lucah, ganas dan lain-lain yang tidak mematuhi Syariah boleh dilihat tanpa batasan.

Meskipun aplikasi Netflix menyediakan akaun tapisan bagi kanak-kanak dan para penonton yang berumur 18 tahun ke bawah, namun ia bukanlah lesen bagi kita untuk menonton cerita drama yang sedikit porno, sebagai contoh.

Maka, di sinilah wujudnya satu peluang inovasi daripada aplikasi seperti Netflix yang Muslim-friendly dan Syariah-compliant (patuh syariah). Aplikasi yang sama tanpa ada unsur-unsur negatif atau sekurang-kurangnya ada batasan dalam pilihan filem dan drama.

Adakah kita juga Muslim-friendly dan Syariah-Compliant?

Kedua-dua istilah ini, mesra Muslim dan patuh Syariah sebenarnya telah membantu jutaan umat Islam dalam menjayakan gaya hidup Islam dalam kehidupan mereka seharian.

Hakikatnya, kewujudan pakaian, muzik, kedai makanan, perbankan dan lain-lain yang patuh Syariah sebenarnya adalah satu perlambangan. Lambang bahawa Islam juga mampu melangkah ke hadapan dan tidak perlu bergantung kepada ciptaan Barat.

Bahkan, para ‘inventor’ atau pereka Muslim juga mampu menjadi lebih baik dan lebih hebat daripada para kontemporari Barat mereka pada masa kini. Namun, persoalannya sejauh manakah kita selaku makhluk terbaik ciptaan Allah SWT, juga adalah ‘Muslim-friendly’ dan ‘Syariah-compliant’?

Jika produk ciptaan manusia daripada pakaian, sehinggalah pakaian dalam bahkan selipar di kaki juga sudah mula menuju patuh Syariah, maka bilakah kita yang mencipta pula? Bagaimanakah perlakuan sebenar kita selaku Muslim?

Mesra Muslim dan patuh Syariah: Kita dan produk kita

Kita boleh bertanya diri sendiri, adakah perbuatan kita mesra Muslim? Adakah perkataan kita patuh Syariah? Sejauh manakah kita beramal dan beriman dengan perkara-perkara yang patuh syariah?

Malah, dengan perkataan Muslim-friendly itu adakah kita juga peramah dengan saudara Muslim yang lain? Banyak mana pertolongan telah kita berikan kepada saudara-saudara seagama kita? Atau kita hanya menyusahkan dan memberi mudarat kepada mereka, meskipun kita juga antara pencipta produk mesra Muslim itu.

Hakikatnya, umat Islam dan produk mereka perlulah sama-sama Muslim-friendly dan Syariah-compliant. Janganlah produk sahaja yang lebih Muslim atau lebih patuh Syariah, berbanding penciptanya dan masyarakat Islamnya.

Oleh itu, teruskanlah mencipta produk yang mesra Muslim dan patuh Syariah. Namun sebagai masyarakat, jangan lupa untuk turut menuju ke arah yang sama. Bahkan, jadilah ‘lebih Muslim dan lebih patuh Syariah-Nya’.