Adakah sudah cukup kita memuliakan ibu bapa?

Keluarga Nur Adibah Ramly 17-Nov-2020
dreamstime_s_179550031
Adakah sudah cukup kita memuliakan ibu bapa? © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Salah satu perkara yang sering diabaikan adalah penghormatan terhadap kedua ibu bapa kita. Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa menghormati orang tua  adalah salah satu kebaikan dan kewajiban utama seorang Muslim.

Sebenarnya, Allah SWT meletakkan kebaikan dan kepatuhan kepada orang tua sebagai keutamaan paling tinggi sehingga Dia menghubungkan secara langsung rasa terima kasih kepada mereka dengan rasa syukur kepada-Nya.

Perkara menghormati ibu bapa

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.”

(Surah Luqman, ayat 14)

Sebilangan besar di antara kita telah mematuhi peraturan ini dan dengan tulus  menganggap bahawa kita telah melakukan semua perkara dalam ‘menghormati ibu bapa’. Namun, adakah kita yakin bahawa kita merangkumi semua aspek yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan Rasulullah SAW dalam pengertian ini?

Mungkin ada baiknya jika membuat senarai semak pendek.

  • Taat
  • Bersikap baik
  • Tidak meninggikan suara
  • Tidak memaki hamun
  • Menunjukkan kerendahan hati
  • Tidak melupakan mereka setelah meninggal dunia

Mungkin ada yang beranggapan keadaan seperti ini baik-baik sahaja tetapi bagaimana jika keadaan memaksa kita meninggikan suara kepada mereka? Memaksa untuk menderhaka? memaksa bersikap kurang ajar? Hanya kerana ibu bapa anda tidak memahaminya.

Berbuat baik pada ibu bapa sebaik-baiknya

Mungkin kerana ibu bapa degil atau tidak mahu mengetahui apa yang kita rasakan. Mereka tidak dapat memahami bahawa kehidupan berubah dan begitu juga pandangan kita mengenainya. Baiklah, mungkin kita merasakan begitu, tetapi ingatlah bahawa Allah SWT mempunyai pemikiran yang berbeza.

Allah SWT tidak mahu mendengar alasan kita. Allah melarang untuk meninggikan suara kepada ibu bapa. Tetapi jika seseorang terlalu mengikut perasaan, maka teruskanlah. Tinggikan suara kepada mereka jika anda mahukan dosa ini tercatat sebagai dosa yang sangat sukar untuk dihapuskan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

(Surah al-Israa’, ayat 23)

Salah satu tugas terbesar manusia, kewajipan anak-anak

Tidak ada alasan untuk tidak mentaati dan tidak menghormati mereka. Tidak ada sebarang alasan. Terimalah dengan ikhlas dan cuba untuk mematuhi segala perintah-Nya. Kita tidak akan menjumpai apa-apa di dalam al-Quran atau Hadis yang akan membenarkan perbuatan ini.

Kita yang sepatutnya berusaha untuk menyesuaikan diri dengan situasi ini, bukan ibu bapa. Ia mungkin kelihatan tidak adil, tetapi ini adalah kehendak Allah SWT dan apa sahaja yang dilakukan oleh Allah segalanya dilakukan dengan adil.

Cuba kita tanyakan kepada diri: adakah sudah cukup kita menunjukkan rasa hormat  kepada ibu bapa? Adakah kita sering meluangkan masa bersama-sama mereka? Melawat mereka? Beri mereka hadiah? Meminta nasihat mereka? Menjadi baik dan taat di hadapan mereka? Bersikap taat dan mengingati kematian mereka? Adakah anda pasti sudah melakukan kesemuanya?

Kita hendaklah melakukan kesemuanya. Kita perlu menghormati kedua ibu bapa  dengan sepenuh hati  dan ingatlah bahawa Allah SWT menetapkan ini menjadi salah satu tugas utama dan terbesar bagi manusia. Suatu kewajipan yang akan dilakukan oleh anak-anak anda sendiri, juga kewajiban di mana dunia ini mempunyai asas yang kukuh.